ONEXOX
BannerFans.com

'Den memang orang Noghori' - Yong Heng Chong

on Wednesday, September 2, 2015



TAMPIN - Sebaik tiba di sebuah kediaman di Kampung Baru Tampin, di sini, penulis terkejut dengan sapaan mesra warga emas berbangsa Cina ini.

Jika ditutup mata, penulis pasti akan beranggapan sedang berhadapan dengan orang Melayu yang pekat dengan loghat Noghorinya.

“Den memang orang Noghori, dah lamo den duduk sini sojak lahir. Dah biaso kawan dengan orang Melayu, dari Pondoi sampailah ke Tampin, banyak kawan den, tapi sekarang banyak yang dah meninggal dunia,” luah bekas polis, Yong Heng Chong, 82, ketika ditemui Sinar Harian.

Bukan mahu bersifat perkauman, tetapi jarang penulis berjumpa warga emas berbangsa Cina yang tahu berbahasa Melayu.

Hajat penulis pada mulanya mahu bertanyakan pengalaman bekas ketua kampung keempat Kampung Baru Tampin itu semasa bergelar polis trafik selama tiga tahun pada tahun 1950, namun penulis tertarik dengan pengalamannya hidup bersama-sama masyarakat berbilang bangsa sejak sebelum negara menyambut kemerdekaan lagi

Heng Chong berkata, pergaulan baik dengan masyarakat Melayu sejak dari kecil telah banyak mengajarnya betapa penting untuk hidup bermasyarakat serta menghormati antara satu sama lain.

“Walaupun den menotap di kawasan perkampungan Cina, den tetap juga menziarahi rakan-rakan Melayu den di kawasan kampung.  Sekitar tahun 60-an dan 70-an setiap kali sambutan tahun baru Cina, macam kenduri rumah Den ni bilo kawan-kawan Melayu datang.

“Malah, den ada juga beberapa kali menyambut hari kemerdekaan bersama rakan-rakan Melayu Den. Semasa peristiwa 13 Mei, kito orang Cina dan orang Melayu di sini tidak sikitpun berbalah.

Sementara itu, Heng Chong ketika ditanya pengalamannya bergelar polis menyatakan dia mula mendaftarkan diri dalam perkhidmatan polis pada tahun 1950 di mana ketika itu usianya baru mencecah 19 tahun.

Menurutnya, pada masa itu, British telah mengarahkan orang Cina untuk menyertai pasukan polis sebagai tanda sokongan terhadap kerajaan British.

“Pada tahun 1950 itu, komunis banyak buat kacau.  Mujur di kawasan ini (Tampin), gerakan berkenaan tidak begitu nampak ketara.

“Jadi, Den menyertai pasukan polis selama tiga tahun dan sempat bertugas sebagai polis trafik di Melaka.  Pada masa itu, dalam 50 ke 60 orang masyarakat Cina menyertai latihan untuk diserapkan dalam pasukan polis," katanya.

Heng Chong berkata, jika ikutkan hati dia mahu menyambung perkhidmatan dalam pasukan polis, namun, ibu bapanya tidak memberi kebenaran kerana bimbang dengan keselamatan dirinya.

“Akhirnya Den balik ke kampung dan beberapa tahun selepas itu dilantik sebagai ketua kampung. Di sini, Den ambil peranan dalam menguruskan Home Guard di kampung ini.  Masing-masing jaga kampung masing-masing.

“Walaupun sudah tidak berada dalam pasukan polis, Den tetap berpeluang menjaga keamanan penduduk di kampung Den sendiri," katanya.

Menurutnya, pada sekitar tahun 50-an, bilangan kaum Cina yang masuk ke dalam perkhidmatan polis boleh dikira dengan jari, kini, makin ramai kaum Cina yang menyertai pasukan polis.

“Jadi polis ni bukan mudah, tanggungjawab bosar. Tak kiro lah Melayu ko, Cino ko India... Kono banyak saba.  Kita tak boleh nak agak hati orang, tapi bila dah pegang tanggungjawab tu buatlah yang terbaik,” katanya yang pernah menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Tampin, Peter Yoong Mok.

Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved