PETALING JAYA: Penyanyi era 80-an Herman Tino akan mengadakan sebuah majlis kesyukuran bagi meraikan kekalahannya dalam merebut kerusi Parlimen Tanjong Karang daripada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Noh Omar pada 5 Mei lalu.
Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi, 59, berkata, dia turut menjemput kesemua 340 pengundi yang mengundinya ke majlis tersebut bagi menghargai sokongan mereka walaupun tewas.
"Tidak semestinya menang sahaja boleh buat kenduri jadi saya memang berhajat untuk membuat majlis itu bagi meraikan kekalahan dan para pengundi yang mengundi untuk saya.
"Bagaimanapun saya masih belum menetapkan tarikh untuk mengadakan majlis berkenaan," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.
Noh menang dengan majoriti besar apabila memperolehi 20,548 undi manakala lawannya Mohamad Rashdi Deraman (PAS) memperolehi 16,154 undi manakala Herman Tino 340.
Penyanyi yang popular dengan lagu 'Yale Yale' dan 'Pelita Dalam Kabus' itu turut hilang wang pertaruhannya sebanyak RM10,000.
Dalam pada itu, Herman Tino berkata, beliau menerima hakikat kekalahannya kerana tahu telah bertanding secara jujur walaupun membuat keputusan itu pada saat-saat akhir.
Jelasnya, walaupun hilang wang pertaruhan dia berbangga dan bersyukur kerana rakan-rakannya yang membantunya untuk membayar wang berkenaan tidak pernah membangkitkan isu berkenaan dan terus menyokongnya.
"Saya terima hakikat dengan kekalahan tersebut dan tidak pernah mempersoalkannya malah saya semakin memahami dengan situasi dan siapa sebenarnya diri saya," jelasnya.
Tambah Herman Tino, beliau akan terus memperjuangkan kepercayaannya dalam politik sebagaimana beliau bersungguh-sungguh semasa mencipta nama sebagai penyanyi.
"Seperti mana bidang nyanyian begitu juga dengan politik. Saya tidak main-main dan akan terus memperjuangkan kepercayaan saya. Insya Allah jika ada rezeki saya akan bertanding lagi," katanya.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment