ONEXOX
BannerFans.com

Adakah Praktikal Boikot Perniagaan Cina?

on Tuesday, May 21, 2013


PEMBAHAS Wan Kamarul Ariffin Wan Ahmad, dalam ulasan sebarisnya menulis: “Dato', boleh buat ulasan skit tentang boikot barangan cina lepas pru 13? ke cuma gimik internet je?”Maaf cakaplah kalau saya kata, cadangan memulaukan perniagaan orang Cina kerana mereka tidak menyokong Barisan Nasional adalah pemikiran cetek yang disensasikanBagi segelintir penyokong Barisan Nasional yang dikatakan terdiri daripada NGO dan blogger pro-BN yang membuat cadangan itu, mereka perlulah memikirkan sama ada ia praktikal atau tidak.

Mereka mungkin orang Melayu kelas menengah dan atas atau Melayu bandar besar yang boleh membeli-belah di pasar raya hyper seperti Cold Storage, Carrefour, Giant dan Tesco.

Itu pun susah juga kerana antara pemilik saham syarikat-syarikat pasar raya hyper itu adalah orang Cina dan banyak pembekal mereka Cina.



Tetapi, adakah mampu bagi pengguna biasa di Lana Bulu, Kedah, Kurung Batang, Perlis, Mukah, Sarawak dan Menggatal, Sabah memboikot perniagaan orang Cina?

Di kampung saya, Tanah Merah, Pendang, Kedah semua kedai runcit, kedai bahan-bahan pertanian, kedai emas, bengkel dan kedai menjual motosikal dimiliki peniaga Cina. Ada tidak pun yang bukan milik Cina adalah sebuah dua kedai dan gerai makan Melayu dan India Muslim.

Cerita boikot ini membawa kembali ingatan saya kepada satu perbahasan yang agak hangat beberapa dekat lalu apabila Perdana Menteri waktu itu, (Tun) Dr Mahathir Mohamad, ditanya mengenai apa akan terjadi kalau orang Cina meninggalkan negara ini (macam disarankan oleh Menteri (keselamatan) Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.)

Jawapan Dr Mahathir mudah saja. Beliau bertanya mampukan orang bangsa-bangsa lain, khasnya Melayu, mengambil alih rangkaian perniagaan runcit orang Cina?

Adakah mereka mempunyai kepakaran berniaga, modal, dan rangkaian bekalan untuk mengisi ruang yang ditinggalkan oleh orang Cina?

Cadangan boikot perniagaan Cina ini mungkin didorong oleh tuduhan “tsunami Cina” yang dibuat oleh Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, pada awal pagi 6 Mei ketika menerima kemenangan BN dalam PRU 5 Mei.

Beliau menyalahkan orang Cina di atas prestasi buruk BN di mana beliau hanya mendapat 133 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat berbanding 140 yang diperoleh (Tun) Abdullah Ahmad Badawi dalam PRU 2008.

Katakanlah ada orang yang begitu taasub dengan BN sehingga sanggup memboikot perniagaan Cina, soalnya di manakah mereka hendak membeli-belah?

Di pasar basah mungkin boleh. Sekarang sudah banyak orang Melayu dan India berniaga di pasar basah, pasar tani dan pasar malam. Tetapi mereka pun mendapatkan bekalan daripada pemborong dan pembekal Cina.





Seperkara lagi, tidak mudah bagi pembeli memastikan yang mana satu barangan bukan keluaran Cina kerana pengeluar Melayu amat jarang mengiklankan hasil keluaran mereka. Malah, mengikut nisbah, lebih banyak perniagaan bukan Islam yang mempunyai sijil halal sah daripada perniagaan Melayu/Islam. Perniagaan Melayu terlalu kecil atau tidak cukup bersih untuk mendapatkan sijil halal.

Lagipun, kita kenalah ikhlas mengakui bahawa yang memajukan perniagaan orang Cina dan mematikan perniagaan orang Melayu adalah orang Melayu sendiri, termasuk Melayu yang berkuasa. Sampai hari ini pun masih banyak orang Melayu yang cemburu dan khianat terhadap orang Melayu yang berjaya dalam perniagaan.

Melayu Yang Majukan Perniagaan Cina

Antara kedai Melayu dengan kedai Cina, orang Melayu lebih suka membeli-belah di kedai Cina kerana harga lebih murah, boleh cincai, boleh tawar-menawar, boleh maki-hamun, boleh hutang dan boleh gadai. Baja subsidi pun curi-curi jual kepada peniaga Cina.

Dulu ada kedai, kilang padi dan kilang papan kerjasama Melayu di kampung-kampung. Hari ini gerakan kerjasama ibarat rumput di tengah jalan. Dulu ada Pernas Edar yang bekal barangan secara borong kepada peniaga Melayu. Sekarang Pernas sudah dijual kepada swata.

Kementerian yang sangat berguna dan berjaya bangunkan usahawan Bumiputera – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi – pun entah mengapa dimatikan oleh Mohd Najib.

Jadi saya tidak nampak bagaimana cadangan boikot ini boleh dilaksanakan atau elok dilaksanakan semata-mata kerana orang Cina tidak undi BN.

Lagipun, bukan orang Cina saja tidak pangkah BN. Orang Melayu dan India pun ada. Jadi kalau penyokong BN hendak boikot, mereka kenalah boikot peniaga Cina, Melayu, India dan macam-macam lagi yang tidak mengundi BN.

Rasa-rasanya, adalah lebih afdal bagi penyokong tegar BN mencari jalan lain membantu BN menarik undi Cina daripada memboikot perniagaan mereka.

Kalau mereka boikot perniagaan Cina, apa pula akan jadi kepada pengeluar Melayu yang bergantung kepada peniaga Cina untuk memasarkan hasil keluaran mereka?

Kalaulah boleh saya beri nasihat kepada NGO dan blogger pro-BN yang kononnya mencadangkan boikot itu, saya kata, tidak patutlah mereka putus asa dan marahkan pengundi kerana usaha mereka membantu BN tidak berjaya atau kurang berjaya. Kalau hendak terlibat dalam dunia politik, kenalah sabar.

Setahun dua menulis blog atau bergiat dalam NGO tidak bermakna mereka sudah berupaya mengubah fikiran semua orang. Kalau setakat maki-hamun, berapa orang sangat hendak percaya? Wallahualam.

Sumber


PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved