KUALA PILAH - Pelantikan anggota Exco bagi membarisi pentadbiran Negeri Sembilan tidak akan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya akan melalui proses pemilihan begitu teliti.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelantikan tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat, sebaliknya diputuskan bulan depan memandangkan perlunya penelitian terperinci sebelum pihaknya boleh mengambil sebarang keputusan.
“Sebagai permulaan, kita akan mencadangkan beberapa nama di kalangan Adun kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan.
“Selain itu, kita juga perlu sembah maklum perkara ini kepada Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bagi mendapatkan perkenan baginda,” katanya.
Ketika ditanya seandainya ada perubahan pada portfolio Exco kali ini, beliau menjelaskan, pengubahsuaian sememangnya diperlukan bagi meningkatkan lagi mutu prestasi sedia ada.
“Bagaimanapun, seperti kita katakan tadi. Buat masa ini, kita masih belum fikirkan lagi tentang isu pelantikan Exco. Sebaliknya, tengok dahulu pada keadaan.
“Mungkin kita akan biarkan Parlimen bersidang terlebih dahulu, barulah proses angkat sumpah ahli Exco dijalankan. Tetapi yang paling penting, kita kena bincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Diraja Seri Menanti, di sini, semalam.
Mohamad yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar bagi penggal ketiga, semalam turut membayangkan untuk mengumumkan barisan Exco selepas kesemua negeri sudah berbuat demikian, selepas pengalaman menjadi negeri pertama terpaksa membubarkan Dun secara automatik sebelum PRU13 lalu.
“Kalau boleh, biarlah negeri ini yang paling akhir melakukan upacara angkat sumpah ahli Exco, memandangkan dahulu kita pernah jadi negeri paling awal terbubar Dun.
“Tindakan sebegini dapat menghindarkan kita daripada pelbagai tohmahan seperti kerajaan haram dan sebagainya apabila menghadapi pilihan raya umum kelak,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas tentang aku janji yang dibuat sebelum PRU13, Mohamad berkata, pihaknya akan memberikan lebih tumpuan terhadap pelaksanaannya.
"Mungkin satu jawatankuasa khas perlu diwujudkan untuk memberi penekanan dalam hal ini, supaya aku janji berkenaan dapat direalisasikan,” katanya.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment