ONEXOX
BannerFans.com

Nabil Ahmad Suka Mengusik Anak

on Friday, June 14, 2013

Sempena kedatangan Hari Bapa yang jatuh pada bulan Jun, GUA berkesempatan menemubual seorang selebriti lelaki yang baru sahaja bergelar seorang bapa sejak awal tahun ini.

Nabil Ahmad, figura yang bakatnya mula dicungkil melalui pertandingan realiti pencarian Raja Lawak musim kedua berkongsi pengalaman indahnya menjadi seorang bapa kepada seorang puteri comel bersama GUA.

Nabil menjelaskan semenjak menyandang gelaran bapa, rezeki yang diterimanya dalam dunia hiburan tanah air semakin murah.



“Pengalaman menjadi seorang bapa adalah satu pengalaman yang sangat seronok dan tidak dapat digambarkan. Rezeki yang saya terima dalam industri hiburan juga semakin murah. Jika dahulu selepas saya habis penggambaran atau persembahan pentas, saya terus pulang ke rumah dan tidur, tapi kini apabila pulang ke rumah, saya rasa seronok dan tak sabar ingin bermain dengan anak saya,” tutur Nabil membuka bicara perihal pengalamannya bergelar bapa kepada Naera Mikayla.

“Orang bujang tak akan tahu dan tak akan dapat perasaan ini. Perasaan bergelar seorang bapa tak boleh dapat di mana-mana. Kalaulah seseorang itu masih bujang dan bergelar pengacara kepada banyak rancangan kanak-kanak sekalipun, saya rasa belum tentu sama pengalamannya melayan kanak-kanak lain dengan anak sendiri,” jelas Nabil lagi.





Ketika ditanya mengenai cabaran yang hadapi ketika menjaga puteri kecilnya itu, Nabil bersyukur kerana setakat ini dia belum pernah menghadapi kesukaran.

“Saya sangat bertuah kerana Naera Mikayla tidak banyak ragamnya. Jika ada sesetengah bayi yang kadang-kadang akan meragam ketika di malam hari, Naera Mikayla setakat ini belum pernah lagi berkelakuan sebegitu. Isteri saya juga sekarang ini tidak bekerja, jadi urusan untuk menjaga Naera Mikayla lebih senang untuk dilakukan,” ujar Nabil.

“Setakat ini, jika terdapat hal-hal yang berkaitan dengan tugas saya sebagai anak seni ataupun dapat undangan persembahan di luar kawasan, ia tidak menjadi masalah kerana selalunya saya akan bawa isteri sdan anak saya sekali,” ulas Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 ini.

Mengulas mengenai pendirian sesetengah anak seni yang enggan anaknya turut serta dalam bidang seni suatu hari nanti, Nabil mempunyai pendapat berbeza mengenai perkara tersebut.

“Saya tak kisah jika anak saya ditakdirkan mempunyai minat yang sama seperti saya dan masuk ke dalam bidang seni. Tapi apa yang saya mahukan, biarlah anak saya mempunyai pelajaran yang secukupnya,” ujar Nabil yang juga sering membawa puterinya mandi di kolam renang jika terdapat masa terluang.

Menemui isteri Nabil, Nazirah Ayub atau lebih mesra dengan panggilan Zira, dia menggambarkan Nabil sebagai seorang bapa yang penyayang.

“Nabil sangat sukakan ‘baby’, lagi-lagi kalau ‘baby’ tu perempuan. Nabil seorang bapa yang sangat penyayang. Setiap hari, tugas memandikan anak kami, Nabil yang lakukan. Kalau kami ingin keluar bersiar-siar di luar, Nabil yang akan menyiapkan Naera Mikayla. Dia akan pilihkan dan pakaikan baju untuk Naera Mikayla,” jelas Zira.

“Nabil sangat membantu saya dalam hal-hal menguruskan anak. Namun begitu, Nabil ni sedikit nakal. Dia suka mengacau anak kami. Kadang-kadang Nabil akan sengaja bergurau dengan Naera Mikayla dengan menggomol Naera Mikayla sehingga anak kami hampir menangis.,” ulas Zira lagi sambil ketawa.

Bercakap mengenai harapan Nabil terhadap anaknya, Nabil berharap agar Naera Mikayla dapat menjaganya dan Zira apabila dia dewasa kelak. “Saya harap anak saya akan jadi anak yang solehah, insyaAllah. Bila Naera Mikayla dah besar nanti, saya harap dia boleh jaga kami seperti mana kami menjaganya sewaktu kecil. Tapi kegembiraan bagi seorang bapa seperti saya adalah apabila anak saya dewasa kelak, anak saya dapat memberikan sumbangan kepada rakyat Malaysia dan menjadi seorang insan yang berguna,” luah Nabil lagi.

Nabil juga sempat menyampaikan ucapan Hari Bapa kepada semua pembaca GUA.

“Selamat Hari Bapa saya ucapkan kepada semua insan yang bergelar bapa. Terima kasih kerana membesarkan anak dengan begitu baik sekali. Kepada bapa-bapa yang baru sahaja bergelar bapa seperti saya, hargailah setiap masa yang dapat diluangkan bersama anak kerana masa bergerak pantas, dalam sekelip mata sahaja anak kita akan membesar,” ujar Nabil  mengakhiri perbualan.

Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved