ONEXOX
BannerFans.com

Siti Hanisah ikon belia NS

on Sunday, June 23, 2013

REMBAU 23 Jun - Kejayaan Siti Hanisah Sharuddin, 23, dari Felda Jelai 1, Gemas untuk menawan puncak Gunung Everest baru-baru ini diberi pengiktirafan kerajaan negeri apabila dia terpilih menerima Anugerah Khas Daya Juang Belia di sini malam tadi.

Anugerah tertinggi itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam majlis gilang-gemilang bersempena Sambutan Hari Belia Negara dan Karnival Kecergasan Peringkat Negeri Sembilan di Dataran Rembau dekat sini malam tadi.

Penerimaan anugerah berkenaan membolehkan wanita Islam termuda dunia menawan puncak berkenaan menerima plak dan sijil, selain wang RM3,000 yang disampaikan oleh Mohamad.



Hanisah yang ditemui Utusan Malaysia memberitahu, penganugerahan ini bukan sahaja cukup bermakna bagi dirinya sebagai anak Felda tetapi merupakan manifestasi kecekalan wanita Malaysia dalam mengharungi apa sahaja cabaran.

''Bagi saya, anugerah ini merupakan satu tanggungjawab yang perlu digalas oleh saya, bukan untuk bermegah tetapi menjadikannya cabaran untuk saya terus berusaha mencapai sesuatu yang luar biasa.





''Malah, ini merupakan satu inspirasi untuk wanita mencapai kejayaan yang bukan sahaja bermanfaat kepada dirinya tetapi negara dan dunia," katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Majlis berkenaan turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr. Awaluddin Said; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Jawatankuasa Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Zaifulbahri Idris.

Dalam pada itu, Mohamad ketika mengulas pemilihan Siti Hanisah sebagai penerima anugerah berkenaan memberitahu, kerajaan negeri melihat pencapaiannya cukup luar biasa dalam melonjakkan semangat generasi muda untuk terus mencipta kejayaan mengharumkan nama negara.

Tambah beliau, lebih istimewa Siti Hanisah merupakan wakil belia wanita pertama Islam yang perlu dijadikan contoh bagi semua belia di negeri ini supaya terus mempamerkan semangat juang dalam mengharumkan nama negara di pentas dunia.

''Kita juga mempunyai perancangan akan membawa Siti Hanisah menjelajah ke setiap pelosok daerah ini untuk memberikan ceramah motivasi kepada anak-anak negeri ini supaya membakar semangat belia kita untuk mencapai kejayaan.

''Kejayaan dia seharusnya menjadi contoh. Jika kita mempunyai semangat dan daya juang yang tinggi untuk mencapai sesuatu, tidak mustahil kita akan memperolehnya," kata Mohamad.

Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved