ONEXOX
BannerFans.com

Bapa maut, anak kritikal dirempuh lori simen di jalan lurus Ulu Bendul

on Monday, August 12, 2013

ULU BENDUL – Seorang lelaki maut manakala anaknya pula kritikal selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah lori simen yang cuba mengelak daripada melanggar sebuah kenderaan yang memasuki laluan bertentangan di Kilometer (KM) 21.5 Jalan Seremban-Kuala Pilah, kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.15 petang itu turut melibatkan dua lagi kereta dan 10 orang cedera.

Difahamkan punca kejadian itu berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dari arah Kuala Pilah ke Seremban memotong dua kereta jenis Proton Saga.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, ketika kereta jenis Perodua Kelisa memotong dua kenderaan terdapat sebuah lori simen dari arah bertentangan.



Menurutnya, pemandu lori simen cuba mengelak ke arah kiri jalan dengan melakukan brek kecemasan, namun bahagian belakangnya hilang kawalan lalu merempuh kereta Perodua Kelisa dan dua kereta Proton Saga.

"Akibat hentaman kuat itu, pemandu kereta jenis Proton Saga dikenali Rahmat Jamaludin, 48, meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan serius di bahagian kepala.

"Manakala pemandu kereta Kelisa dan Proton Saga serta pemandu lori simen cedera parah," katanya kepada Sinar Harian ketika mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, gara-gara kemalangan itu, jalan tersebut mengalami kesesakan teruk sepanjang 5 kilometer dari arah Kuala Pilah–Seremban.

"Sungguhpun begitu, polis trafik berjaya mengawal keadaan kesesakan sehingga lori dan tiga kereta terbabit dialihkan,” katanya.

Azmi berkata, mangsa yang meninggal dunia beralamat nombor 3, Lorong Mewah Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) sebelum dituntut oleh ahli keluarganya, manakala mangsa yang cedera parah menerima rawatan di HTAN,” katanya.

Kejadian berlaku begitu pantas

Sementara itu, adik mangsa, Mohd Johari Jamaluddin, 51, berkata, ketika kejadian, dia menaiki kereta bersama abangnya dan mereka dalam perjalanan dari Felda Palong 2 untuk pulang ke Kuala Lumpur setelah berhari raya di rumah kakaknya.

“Kejadian itu berlaku begitu pantas. Kereta yang kami naiki bersama tiga lagi ahli keluarga abang tidak laju kerana kenderaan mula banyak.





"Akibat kejadian itu, anak abang, Norwahida Rahmat, 18, terpaksa dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban kerana kaki kanan patah dan kepalanya mengalami pendarahan," katanya.

Katanya, dia bersama isteri arwah, Asnah Bakri, 47, dan anak bongsu arwah, Solehin Rahmat, 14, selamat.

Tergaman lihat lori rempuh kereta

Manakala anak kepada pemandu sebuah lagi kereta Proton Saga, Mohd Azmi, 27, berkata, ketika kejadian ayah, ibu dan tiga adik beradiknya dalam perjalanan dari Felda Tembangau 1 ke Hutan Lipur Rekreasi Ulu Bendul untuk berkelah.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi keluarganya. Kejadian itu mengakibatkan  ayahnya, Awang Zakaria Zainal Abidin, 57, cedera parah manakala ibu dan tiga adiknya cedera ringan.

“Ayah berkata, dia mengekori kereta yang dipandu oleh arwah (Rahmat) dan tidak menduga sama sekali sebuah lori datang dari arah bertentangan dan merempuh kereta mereka. Semuanya berlaku begitu pantas.

“Ayah tergamam apabila melihat bahagian belakang lori simen itu merempuh kereta dinaiki dalam sekelip mata,” katanya.

Sementara itu, difahamkan, pemandu lori simen, Koh Mui Khiang, 60, dikejarkan ke HTJ Seremban kerana kaki kanan dan tangan kiri patah.

Dalam pada itu, tiga jentera iaitu dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah dibantu dua bomba dari Seremban 2 bergegas ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved