ONEXOX
BannerFans.com

Guru hentak kepala guna buku teks

on Tuesday, September 10, 2013

Alor Gajah: Seorang ibu kepada pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Talib Karim mendakwa mata kanan anak lelakinya bengkak dan penglihatannya kabur selepas dipukul seorang guru lelaki, 7 September lalu.

Zurina Ibrahim, 40, ibu kepada Izzul Fahmi Zainal, 15, berkata, sebelum kejadian anaknya bersama tiga rakan mereka bersiar-siar di bandar ini dan duduk di atas pentas di Dataran Keris, di sini, sebelum dilihat guru berkenaan pada 1 September lalu.

Dakwanya, kira-kira jam 9.30 pagi, Sabtu lalu, guru itu bertindak memukul kepala anaknya menggunakan tangan beberapa kali, malah kepala anaknya turut dipukul menggunakan buku teks.



“Sejurus pulang dari sekolah, Izzul terus tidur dan saya hanya mengetahui mengenai kejadian selepas dimaklumkan ibu kepada rakannya Nur Najwa Najihah Mohd Shah, 13, yang turut dipukul guru berkenaan.

“Selepas mengejutkannya saya terkejut melihat mata kanannya merah dan bengkak, apabila ditanya dia memaklumkan dipukul guru berkenaan di dalam kelas di hadapan pelajar lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jelatang, di sini, kelmarin.

Menurutnya, sebagai ibu dia kecewa dengan tindakan guru berkenaan yang boleh memudaratkan kesihatan anaknya kerana ia membabitkan deria mata dan lebih membimbangkan sekiranya berlaku gegaran otak.

Izzul berkata, ketika berjalan di luar kelas Nurul Najwa, dia dipanggil guru berkenaan dan dimarahi.

“Guru berkenaan memukul kepala saya menggunakan tangan enam kali sehingga menyebabkan telinga dan mata saya bengkak, tidak cukup kepala saya sekali lagi dipukul menggunakan buku teks dengan kuat sehingga selepas kejadian saya kerap tidur kerana sakit kepala.

“Malah, dia turut memberi amaran tidak teragak-agak memukul sekiranya terlihat kami di dataran berkenaan selepas ini dan mengatakan tidak takut sekiranya tindakannya diadukan kepada keluarga,” katanya.

Sementara itu, Najwa berkata, ketika kejadian guru lelaki itu masuk ke kelasnya bagi mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani ketika sesi sekolah ganti sebelum bertindak memanggilnya dan bertanya sama ada dia ada melihatnya di Dataran Keris.

“Saya jawab tidak perasan, kebetulan ketika guru itu bertanya, Izzul lalu di luar kelas dan guru itu mengarahkan dia masuk, kemudian saya diarah berdiri dan duduk di kerusi guru beberapa kali sebelum kepala dipukul buku teks sebanyak dua kali dengan kuatdan dihambur kata-kata kesat,” katanya.

Ibunya, Norhayati Md Yusof, 44, berkata tindakan guru itu mengakibatkan anaknya itu trauma dan malu ke sekolah kerana ia dilakukan di hadapan rakan sekelas serta sering sakit di bahagian kepala.





“Jika Najwa melanggar disiplin sekolah saya faham tindakan guru itu, tetapi difahamkan tindakan berkenaan diambil hanya kerana dia ternampak anak saya dan kakaknya bersama dua lagi rakan lelaki duduk di pentas berhampiran Dataran Keris.

“Bukan hanya di luar kawasan sekolah, sebaliknya ketika itu hari Ahad. Malah, saya tidak tahu kenapa hanya selepas seminggu baru guru berkenaan mahu menghukum mereka dengan cara begitu,” katanya.

Sehubungan itu, kedua-dua keluarga berkenaan nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap guru terbabit dengan membuat laporan di ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah kelmarin.

Ketua Polis Daerah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved