Sebagai anak tempatan, penulis berbangga dengan kemampuan syarikat automotif nasional menghasilkan produk berkualiti berbanding model sebelum ini.
Jentera yang dibangunkan selama dua tahun itu turut menggunakan platform P2 untuk memenuhi pasaran tempatan dan antarabangsa. Antara negara dikenal pasti ialah Australia, Thailand, Indonesia dan Afrika Selatan.
Dalam sesi pandu uji, penulis tertarik dengan rekaannya yang tampak sporty untuk cita rasa golongan muda berusia 20 hingga 40-an.
Bahagian belakangnya dengan reka bentuk hatchback yang tampak sedikit pendek berbanding ‘abangnya’, Proton Preve.
Kombinasi lampu belakang dengan rekaan kontemporari turut menyalurkan gaya gah, selain dicipta bagi memberi daya aerodinamik dalam kelasnya.
Bampar belakang dengan gabungan dua warna menyerlahkan imejnya serta kombinasi logo Turbo di bahagian bonet seolah-olah memberi maklumat kehebatan prestasi enjin ini.
Biarpun bahagian depan kelihatan seiras dengan Proton Preve, ia masih mempunyai perbezaan, terutama jerijinya yang berbentuk seperti sarang lebah.
Laluan angin dipertingkatkan untuk mengurangkan suhu sehingga 14 peratus bagi radiator.
Perumah lampu depan dilengkapi Lampu Siang (DRL) tampak elegan dan mempesonakan ketika di jalan raya.
Jika melihat bahagian sisinya, kelihatan satu garisan panjang menghubungi lampu depan sehingga belakang untuk memberi garisan dinamik serta tampak sasa.
Keluasan ruang kabinnya juga tidak ubah seperti Proton Preve, tetapi rekaannya dipertingkatkan untuk memberi kepuasan kepada bakal pemiliknya.
Bagi penulis, papan pemuka serta panel pintu yang menerima sentuhan material lembut itu memberi impak besar dalam menghasilkan jentera ini.
Adanya material seperti itu, ia akan memberi tanggapan positif kerana seakan-akan setaraf dengan kenderaan premium buatan luar negara.
Malah, jentera ini tidak kedekut dengan teknologi terkini apabila dilengkapi butang penghidup enjin, sistem penggilap cermin depan automatik, sistem penghidup lampu depan automatik dan Bantuan ‘Hill-Hold’ untuk mengelak kenderaan menggelongsor ketika melepaskan brek.
Audio dengan skrin bersaiz tujuh inci pula bagaikan yang terbaik dalam keluaran Proton kerana dilengkap ciri menarik seperti sistem navigasi serta dipadankan perisian Android, sekali gus boleh melayari Internet menerusi sambungan WiFi.
Ketika penulis menggunakan sistem navigasi itu, ia memberi bacaan tepat dan mudah, termasuk gambaran laluan sebelum memasuki simpang.
Tempat duduknya pula dibaluti material kulit warna hitam yang memberi gambaran eksklusif serta dilengkapi ciri-ciri keselamatan ISOFIX.
Berhubung prestasinya, ternyata ia tidak menghampakan penulis kerana enjin Campro 1.6 Turbo ini memberi prestasi yang mantap untuk meluncur laju tanpa masalah.
Ketika jarum meter menunjuk angka antara 160 hingga 170 kilometer sejam (km/j), ia masih lagi stabil, seolah-olah memandu dengan kelajuan biasa.
Proton Suprima S dipadankan kotak gear CVT Pro-Tronic, menghasilkan kuasa sebanyak 138 kuasa kuda (hp).
Walaupun CVT tidak mempunyai gear, Proton menyediakan pedal penukar gear di belakang stereng untuk memberi lebih kawalan secara manual sehingga tujuh kelajuan.
Bagaimanapun, bagi mereka yang mahukan jentera berprestasi seperti kenderaan sporty, jentera ini tidak sesuai untuk memenuhi cita rasa itu kerana ia dicipta untuk keselesaan dan pemanduan santai.
Jentera ini menjadi keluaran pertama Proton yang dilengkapi enam beg udara, selain menerima pengiktirafan lima bintang dalam Program Penilaian Kenderaan Baru Australasian (ANCAP).
SPESIFIKASI PROTON SUPRIMA S:
ENJIN: Campro 1.6 Turbo, 1,561cc
KUASA MAKSIMUM: 138 hp pada 5,000 rpm
TORK MAKSIMUM: 205 Nm antara 2,000 hingga 4,000 rpm
TRANSMISI:ProTronic CVT, penukar gear di stereng
CIRI KESELAMATAN: ABS, EBD, BA, ESC, Kawalan Tarikan, Bantuan ‘Hill-Hold’, Enam beg udara, ISOFIX dan pengesan undur dengan kamera di belakang.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment