Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dilapor meninggalkan persidangan Perhimpunan Agung Umno 2013 untuk meninjau keadaan di sana.
Di dalam tweet terbaharunya beliau memberitahu akan ke Pekan, Rompin dan Kuantan untuk ‘menjenguk’ keadaan banjir di sana.
Najib dilapor berlepas dari Subang pada pukul 12 tengah hari dan akan menziarahi keluarga Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Pekan Jamali Jani yang dipercayai hilang dalam banjir di Kuantan malam tadi.
Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Pahang sehingga pagi tadi mencecah 38,323 orang daripada 9,153 keluarga.
Banjir semakin buruk di Pahang dan negeri-negeri pantai timur dengan jumlah yang dipindahkan ke pusat pemindahan semakin meningkat.
Semalam di Dewan Rakyat usul tergempar berkaitan bencana banjir di Kuantan yang dibawa Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Kekecohan berlaku apabila Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin mempersoalkan kewajaran usul itu dan menggesa Fuziah pulang ke Kuantan untuk membantu mangsa banjir.
Fuziah mengemukakan usul tergempar di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) tetapi ditolak Speaker atas alasan teknikal.
"Saya mendapat panggilan bertalu-talu daripada rakyat di Kuantan meminta bantuan segera jam tiga pagi tadi. Saya telefon Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk hantar bantuan makanan dan keperluan tetapi ia tidak berhasil," katanya di dalam dewan.
Atas permintaan Speaker, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim bangun menjelaskan bahawa kerajaan sudah menghantar bantuan makanan dan keperluan kepada mangsa banjir yang terkepung di Kuantan.
Dalam sidang media selepas itu, Fuziah memaklumkan mangsa banjir di kawasannya sejak jam 3 pagi tadi tidak mendapat sebarang bantuan malahan ada yang terpaksa menyelamatkan diri di atas bumbung rumah.
"Mereka terputus hubungan, elektrik diputuskan. Keadaan semakin parah ada yang terpaksa harungi air paras leher mencari tempat perlindungan.
"Bot tidak ada pasukan penyelamat tidak sampai, ada yang tidak menjamah makanan sejak jam 4 petang semalam. Mereka yang menjadi mangsa ibu bersalin, orang tua uzur, kanak-kanak yang berkhatan, dan macam-macam lagi," katanya.
Fuziah juga kesal kerana kerajaan tidak bersedia sebarang kemungkinan yang berlaku memandangkan berdasarkan rekod sebelum ini Kuantan selalu ditenggelami air apabila tiba musim tengkujuh.
"Tiap-tiap tahun di Kuantan ada rekod sepatutnya kerajaan bersedia dengan tilam, biskut, susu anak, air minuman dan pampers serta sanitary. Seharusnya benda-benda ini sudah ada," katanya.
Beliau juga kecewa apabila Majlis Keselamatan Negara tidak pernah menjemput beliau untuk mengadakan perbincangan berhubung masalah banjir di kawasannya.
"Pegawai kerajaan yang terlibat tidak mahu berjumpa dengan kita. Dan saya percaya ini sebagai politik dendam bagi memberi gambaran rakyat bahawa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak buat kerja," katanya.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment