ONEXOX
BannerFans.com

Al-Quran peneman sehingga akhir hayat

on Friday, January 17, 2014

SEREMBAN - Allahyarham Erni Zurita Ismail, 39, menjadikan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sebagai teman ketika sakit sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir, awal pagi semalam.

Pengurus IT Grup Digital, Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) itu, menghembuskan nafas akhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira 12.05 pagi semalam, selepas beberapa bulan menderita penyakit kanser dalam perut.

Menurut ibu Allahyarham, Siti Eaisah Abd Rashid, 66, walaupun terlantar sakit, arwah sememangnya seorang yang tabah dan berdikari.

“Dia minta kami bacakan beberapa surah al-Quran seperti al-Mukminun dan al-Hajj untuk meredakan kesakitan ditanggung, selain dapat menenangkan jiwanya.



“Kami bersyukur kerana diberi kesempatan untuk membimbing Allahyarham sehingga ke hujung hayatnya, tatkala membantu mengucapkan dua kalimah syahadah,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Senawang, dekat sini, semalam.

Bapa Allahyarham, Ismail Marzuki, 68, berkata, walaupun kehilangan anak kedua daripada empat beradik itu, dia tidak berasa terkilan kerana berada di sisi anaknya itu semasa dia menghembuskan nafas terakhir.

“Sepanjang empat malam saya dan isteri menemani arwah di hospital. Dia tetap tenang seperti biasa, cuma sesekali nampak dia menahan kesakitan.

"Paling tidak dapat dilupakan apabila arwah seolah-olah mengetahui akan meninggalkan kami semua apabila mula memohon maaf dan minta dihalalkan makan minumnya selama ini. Saya reda dengan pemergiannya,” katanya.





Sementara itu, suami Allahyarham, Ahmad Kamal Khamis, 44, pula menganggap dirinya sebagai lelaki paling bertuah kerana mendapat isteri seperti Allahyarham Erni Zurita.

“Bagi saya, dialah pasangan terbaik di dunia dan akhirat. Hingga ke penghujung usia, kasihnya terhadap saya dan keluarga tidak pernah berubah. Bagaimanapun, saya tidak terlalu terkejut dengan pemergiannya kerana sudah menjangkakan perkara ini berdasarkan laporan kesihatannya,” katanya.

Mereka dikurniakan dua orang anak hasil perkongsian hidup bersama.    

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, pemergian Allahyarham Erni Zurita yang telah berkhidmat kira-kira 10 tahun di Karangkraf merupakan kehilangan besar buat syarikat.

Menurutnya, Allahyarham bukan saja seorang pekerja berdedikasi, bertanggungjawab dan komited dalam tugas, tetapi terlalu banyak jasanya terhadap syarikat apabila pelbagai perisian dan sistem dalam talian yang digunakan syarikat ketika ini adalah di bawah tanggungjawab Allahyarham.

“Pemergian Erni adalah sesuatu yang harus kita redai, namun di sebalik pemergiannya itu, kita merasakan kehilangan sangat besar.

“Idea dan kreativiti dimiliki beliau sangat mengagumkan. Lihat sahaja yang ada pada hari ini, sistem talian dan penggunaan sistem digital syarikat menjadi semakin canggih. Semuanya hasil pembinaan sistem dibuat Allahyarham.

"Syarikat berterima kasih di atas sumbangan beliau," katanya yang turut hadir pada upacara pengkebumian Allahyarham, semalam.

Terdahulu, kira-kira 150 kakitangan Karangkraf memberi penghormatan terakhir di rumah keluarga Allahyarham di Taman Rashidah Utama, dekat sini, semalam.

Turut hadir pada upacara semalam, Pengarah Eksekutif  Sinar Harian, Akmal Eirfan Mohd Fauzi; Pengurus Besar  Grup Buku Karangkraf, Sri Diah Shaharuddin dan Ketua Pengarang  Sinar Harian, Norden Mohamed.

Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved