Operasi disertai 70 anggota dari PPDNKK negeri dan Putrajaya itu dijalankan di sebuah pasar raya di Seremban 2, Dataran Senawang dan pejabat syarikat gores dan menang di Bandar Taipan, Senawang, di sini, bermula kira-kira jam 4 petang dan berakhir jam 6 petang.
Ketua Pegawai Penguatkuasa PPDNKK negeri, Saiful Bahri Abdul Kadir, berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan pihaknya selama tiga minggu selepas menerima banyak aduan daripada mangsa peraduan gores dan menang di negeri ini.
“Kita berjaya menahan lima ulat syarikat gores dan menang ketika sedang leka memperdaya mangsa melalui kad gores dan menang serta hadiah yang ditawarkan.
“Semua mereka lelaki berusia lingkungan 20-an yang bekerja dengan syarikat jualan langsung menawarkan peraduan gores dan menang,” katanya kepada pemberita selepas tamat operasi di Dataran Senawang, di sini, semalam.
Menurutnya, semua mereka ditahan reman selama empat hari dan akan disiasat mengikut Akta Jualan Langsung 1993.
Dalam operasi di pejabat syarikat gores dan menang itu, PPDNKK menyita alat urut kaki dan mesin imbasan yang digunakan pada kad gores dan menang.
“Tiada penahanan dilakukan di pejabat berkenaan dan kita masih siasat terhadap syarikat yang berselindung di sebalik perniagaan jualan langsung itu.
“Pemilik syarikat termasuk pekerja akan disiasat dan saya yakin mereka sama sekali tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.
Saiful Bahri berkata, modus operandi syarikat itu adalah dengan meminta orang ramai memilih kad sedia ada yang menawarkan pelbagai hadiah menarik dan lumayan.
“Ulat syarikat akan berkeliaran mencari mangsa khususnya golongan warga emas di kawasan tumpuan seperti pasar raya dan menyuruh mangsa membuat cabutan dengan memilih kad.
“Mangsa yang bernasib baik diberi pilihan memilih hadiah yang ditawarkan namun perlu membayar sejumlah wang bagi mendapatkan hadiah,” katanya.
Katanya, hadiah cabutan yang menawarkan 14 pilihan seperti kereta mewah, pakej pelancongan ke luar negara, umrah, wang tunai, barangan elektrik dan perabot antara barangan yang ditawarkan.
“Mangsa kemudiannya diminta datang ke pejabat untuk berunding tentang hadiah dan di situ mangsa akan dipengaruhi untuk menyerahkan wang di mana pekerja syarikat akan menemani mangsa mengeluarkan wang di bank sebelum menyerahkannya kepada pekerja syarikat.
“Mangsa turut ditawarkan hadiah lain sekiranya tidak mampu. Sebagai contoh hadiah tilam yang bernilai RM40,000 dan mangsa diminta wang pendahuluan sebanyak RM10,000.
“Merasakan diri tertipu apabila wang telah dibayar tetapi tidak mendapat hadiah yang ditawarkan, mangsa kemudiannya membuat laporan polis,” katanya.
Saiful Bahri berkata, kegiatan penipuan dikesan sejak Julai tahun lalu sehingga tiga hari lalu mencatatkan sebanyak 176 aduan membabitkan kerugian sebanyak RM2 juta.
“Sehingga kini, sebanyak RM812,000 nilai kes dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna oleh mangsa gores dan menang,” katanya.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan tawaran oleh mana-mana individu yang melakukan peraduan gores dan menang.
“Sekiranya didapati melihat kumpulan melakukan aktiviti penipuan ini ataupun pernah menjadi mangsa boleh membuat aduan kepada PPDNKK negeri ataupun balai polis berhampiran,” katanya.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment