ONEXOX
BannerFans.com

Bersih 2.0 lancar Kempen Rakyat Sokong Mejar Zaidi

on Tuesday, March 4, 2014

KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini melancarkan ‘Kempen Rakyat Sokong Mejar Zaidi’ untuk menggesa Majlis Angkatan Tentera Malaysia menggugurkan kesemua tujuh tuduhan terhadap Mejar Zaidi Ahmad yang membuat laporan polis mengenai dakwat kekal.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri telah mengaku dalam laporan media mengenai kegagalan dakwat kekal, yang turut dilaporkan oleh ratusan pengundi.

“Jadi kenapa pula tindakan ini diambil terhadap Mejar Zaidi yang berkata apa yang benar demi kepentingan awam?” kata Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Maria memberitahu bahawa Bersih 2.0 akan menghantar surat rasmi kepada Majlis Angkatan Tentera hari ini untuk menyeru supaya pertuduhan Zaidi digugurkan.



Katanya, Bersih 2.0 menganjurkan kempen itu melalui media sosial supaya ribuan rakyat bersatu menyuarakan ketidakpuasan mengenai tindakan mahkamah terhadap Mejar Zaid.

"Bersih 2.0 percaya bahawa ramai rakyat Malaysia merasakan Mejar Zaidi tidak seharusnya dihukum tetapi disanjungi kerana kejujuran dan keberaniannya untuk menegakkan kebenaran," kata Maria.





Jelasnya, semua penyokong diminta mengambil gambar mereka bersama kad yang menyatakan “Gugur pertuduhan Mejar Zaidi” atau “Hukum SPR, bukan Mejar Zaidi” dan menerbitkan gambar tersebut dalam Facebook dan Twitter masing-masing dengan hashtag #sokongzaidi sebelum perbicaraan Mejar Zaidi bermula April nanti.

Satu rombongan Bersih 2.0 yang terdiri daripada Maria, Naib Pengerusi Semenanjung Utara Datuk Dr Toh Kin Woon, ahli Sekretariat Mandeep Singh dan Adam Adli, serta bendahari Ikram Mustafa Basri telah melawat Mejar Zaidi di rumahnya di Bertam, Kepala Batas pada 24 Februari lalu.

Mejar Zaidi dituduh melanggari arahan Majlis Angkatan Tentera Malaysia dengan membuat laporan polis mengenai dakwat kekal yang digunakan dalam pengundian awal pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Beliau dikenakan tiga lagi tuduhan membuat kenyataan media tanpa kebenaran dan menghantar dua SMS yang berbau politik.

Jika Mejar Zaidi didapati bersalah, beliau mungkin kehilangan pencen dan faedah lain.

Ini merupakan ketidakadilan yang tidak boleh diterima oleh rakyat, kata Maria.

“Mejar Zaidi ialah wira negara yang sebenarnya. Jika kesemua rakyat seperti Mejar Zaidi berani bersuara mengenai yang benar dan adil, pastinya kurang kepincangan dalam sistem pentadbiran negara,” katanya.

Maria juga mengingatkan bahawa Perkara 114 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa SPR harus mendapat keyakinan dan kepercayaan umum.

Namun belum ada sebarang tindakan dikenakan terhadap SPR terhadap kegagalan mereka yang nyata sekali dalam pengendalian dakwat kekal.

“Sebaliknya, seorang rakyat Malaysia yang berprinsip dan berani pula yang dihadapkan ke mahkamah,” kata Maria.

Justeru, Maria menggesa orang awam yang prihatin mengenai isu pilihan raya yang bebas dan adil menunjukkan sokongan kepada Mejar Zaidi dengan menghadiri perbicaraan pada 8 April hingga 10 April 2014 di Mahkamah Tentera TUDM Sg Besi, Kuala Lumpur.

“Tunjukkan kepada Mejar bahawa beliau bukan keseorangan. Sampaikan pesanan kepada semua bahawa tindakan yang patut dibanggakan dan dipuji ini tidak patut dihukum,” kata Maria.

Panel Mahkamah Tentera diketuai Kol Saadon Hasnan yang terdiri daripada Lt Kol Zainurin Mohd Dom, Mej Khuzairi Mohd Arshad, Mej Khairul Nizam Taib, Mej S. Nadzeer Salehuddin dan Mej Noor Azman Ahmad.

Sumber



PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved