Ketika pemeriksaan dibuat di bilik kedua rumah berkenaan, ia didapati berkunci dan hanya dibuka selepas hampir lima minit diketuk oleh pihaknya, kata Mohd Radzi, 30.
Seorang wanita berbaju T dan berseluar pendek kelihatan terpinga-pinga ketika membuka pintu bilik berkenaan.
"Ketika pintu dibuka bilik berkenaan berada dalam keadaan gelap dan selepas saya membuka lampu bilik itu, saya mendapati ada seseorang yang sedang baring di katil sambil berselimut."
"Apabila dia diarahkan untuk bangun dari katil saya mendapati dia adalah seorang lelaki dan ketika itu dia hanya memakai ‘boxer’ (seluar dalam) sahaja."
Beliau sebagai saksi pertama dalam kes perbicaraan melibatkan pelakon Sharizal Jaszle atau nama sebenarnya Shahrizal Jaszle Jasmin, 26, dengan seorang pegawai bank, Farah Nurizzati Salleh, 22, di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling hari ini.
Shahrizal Jaszle diwakili peguam syarie, Ashraf Ranee manakala pendakwaan dilakukan pendakwa syarie, Hasrul Hafidzi Ahmad dan dijalankan di hadapan hakim syarie, Abd Halim Abu Samah.
Mohd Radzi turut memberitahu mahkamah, aktor itu juga mengaku wanita yang bersamanya dalam sebuah bilik ketika diserbu adalah teman wanitanya selepas disoal sama ada mereka mempunyai ikatan sah sebagai suami-isteri.
Shahrizal yang duduk di kandang tertuduh, hadir memakai baju Melayu berwarna putih bersongkok tenang ketika mendengar keterangan daripada saksi hampir dua jam perbicaraan berlangsung.
Terdahulu, pada 16 Mei 2013, Shahrizal dan pasangannya Farah Nurizzati ditahan atas tuduhan khalwat di Apartmen Taman Sri Subang, Petaling Jaya kira-kira pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jais hasil aduan orang ramai.
Mereka ditahan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.
Ia menyebabkan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani Puteri, 26, terpaksa diputuskan oleh keluarga perempuan tetapi telah disambung semula pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu.
Nurizzati telah mengaku salah terhadap tuduhan tersebut dan mahkamah memerintahkannya membayar denda maksimum iaitu RM3,000 atau penjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda pada 13 November tahun lalu.
Mahkamah turut memerintahkan Shahrizal membayar wang jaminan sebanyak RM1,500 selepas pelakon itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan khalwat yang dikenakan.
Shahrizal ketika ditemui mStar Online di perkarangan mahkamah memberitahu dia berpuas hati dengan keterangan yang diberikan oleh Mohd Radzi kepada mahkamah. Perbicaraan disambung semula pada 10 Jun depan.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment