Che Wan Mohd Razi adalah seorang daripada tiga nelayan yang terselamat selepas bot pukat tunda dinaiki mereka dihanyutkan arus sebaik dilanggar kapal besar ketika keluar menangkap ikan di perairan Dungun pada 26 Mei lalu.
Che Wan Mohd Razi menceritakan kembali detik sebelum tragedi, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam pada hari ketiga mereka berada di laut untuk menangkap ikan.
Ketika itu botnya sedang berlabuh di perairan Kerteh sebelum tiba-tiba dilanggar sebuah bot pukat tunda besar dipercayai berpangkalan di Kuantan, Pahang menyebabkan botnya terhuyung-hayang lalu mengambil keputusan memotong sauh bagi mengelakkan bot karam.
“Selepas perlanggaran itu, saya cuba hidupkan enjin bot untuk pulang ke pangkalan, tapi gagal kerana masalah bateri. Walaupun ketika itu baru dapat satu bakul hasil tangkapan, kami terpaksa batalkan niat menangkap ikan setelah bot rosak,” katanya.
Bot yang berpangkalan di jeti Nibong Bawah, Dungun itu akhirnya secara perlahan-lahan dihanyutkan arus ke tengah laut sehingga masuk hari kelima.
Sepanjang tempoh berkenaan, mereka tidak putus berdoa agar muncul bot lain bagi memberikan bantuan. Selain berusaha memberikan isyarat melalui pelbagai cara termasuk menyalakan lampu suluh dan melaung sekuat hati, namun semuanya hampa.
Dia juga cuba menghubungi keluarga dan rakan lain melalui telefon bimbit, bagaimanapun tiada isyarat talian.
“Kami hanya bertemankan lampu suluh setelah lampu bot gagal dinyalakan kerana masalah bateri. Dalam keadaan seperti itu, kami juga terpaksa makan secara berjimat untuk mengelakkan makanan habis,” tambahnya lagi.
Dia dan dua lagi rakannya berjaga secara bergilir untuk memberikan isyarat setiap kali ternampak bot yang melintas, namun semuanya hampa kerana isyarat yang diberikan melalui cahaya lampu suluh gagal dilihat.
Dalam masa tiga jam, bot mereka dihanyutkan kira-kira dua batu nautika ke tengah lautan dan dalam masa lima hari, bot sudah hanyut kira-kira 18 batu nautika dari lokasi pertama sauh putus.
“Saya tak takut mati, cuma hati rasa sayu melihat kejadian Tuhan, malah merasakan apa yang berlaku seolah-olah satu cerita. Dalam situasi itu, saya terus berdoa sehinggalah saya berjaya ditemui,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun Che Wan Mohd Razi berkata, saat paling menyentuh perasaannya ketika berada di tengah lautan apabila dia tiba-tiba terdengar suara orang mengaji al-Quran sebaik masuk waktu Subuh pada hari ke tujuh dan hari terakhir sebelum botnya ditemui.
Ketika itu hatinya tiba-tiba berasa sayu, apatah lagi melihat kebesaran Tuhan dengan lautan yang meluas dan jarak lokasi ketika itu kira-kira 90 batu nautika dari perairan Seberang Takir Kuala Terengganu dan 20 batu nautika dari sempadan perairan Laos.
Di saat itulah, dia berdoa sekali lagi agar ditunjukkan jalan keluar menemui daratan sebelum botnya ditemui sebuah bot tempatan yang keluar untuk memancing ikan kira-kira jam 10 pagi kelmarin.
“Sebaik ternampak bot itu, kami melambaikan tangan. Bot kami kemudian ditunda hingga ke jeti Seberang Takir sebelum pulang ke sini,” katanya.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment