ONEXOX
BannerFans.com

Orang Beriman Gembira Menyambut Ramadan

on Friday, June 27, 2014

Beberapa hari lagi umat Islam seluruh dunia bakal menyambut ketibaan Ramadan al-Mubarak. Kita patut bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana masih diberi kesempatan bertemu dan menikmati bulan agung yang diberkati ini.



Sungguh beruntung kita termasuk dalam kalangan orang yang dipilih Allah kerana mungkin ramai daripada saudara-mara dan kawan-kawan yang mendahului kita, tidak dapat lagi menghirup segarnya Ramadan.

Hadis Nabi SAW ada menyebut bahawa di antara ciri-ciri orang beriman ialah yang gembira apabila datangnya Ramadan.

Tahun ini, banyak dugaan dan godaan akan kita hadapi. Ramalan ahli cuaca memperkirakan akan berlaku musim el nino pada bulan Ramadan hingga ke beberapa bulan berikutnya, menuntut kita untuk bersiap sedia.

Cuaca panas kesan El Nino secara langsung akan mempengaruhi sistem metabolisme tubuh kita sekiranya kita kurang meminum air.

Godaan yang tidak kalah hebatnya selain cuaca panas, boleh saja berlaku kepada diri kita dengan adanya Piala Dunia yang sekarang berlangsung di Brazil.

Sebenarnya, bukan bermaksud kita mahu menyalahkan Piala Dunia, akan tetapi kita risau, kita tewas kepada pesona Piala Dunia sehingga terkial-kial menjalankan semua ibadah di bulan penuh pengampunan itu.

Pada hakikatnya puasa Ramadan yang akan kita hadapi ini bukan semata-mata berlapar dan berdahaga tanpa sebarang makna.

Sebab itu, orang yang berpuasa tanpa persiapan mental dan keinsafan diri yang dalam, dianggap sia-sia seperti sabda Nabi yang bermaksud: "Betapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapatkan sesuatu dari puasa itu selain lapar dan dahaga."

Dalam menghadapi Ramadan langkah mantap memang `starting point' yang amat diperlukan. Tetapi kemantapan langkah saja belum tentu menjamin keselamatan ibadah puasa sampai akhir. Ada beberapa rintangan harus disingkirkan agar puasa selamat diterima Allah.

Rintangan itu ada yang merupakan bentuk rintangan persyaratan dan ada pula rintangan berbentun godaan dalam kehidupan bermasyarakat selama menjalankan ibadah puasa.

Rintangan dalam bentuk persyaratan adalah apa yang dinyatakan dalam hadis nabi bahawa Allah tidak akan menerima puasa seseorang yang belum saling memaafkan antara dirinya dan orang tuanya.

Betapa pun mantap langkah dan tekunnya seseorang memasuki bulan suci Ramadan, tetapi belum mendapatkan keredaan dari orang tuanya atas berbagai kesalahan yang dibuat di masa lalu, maka puasanya tidak akan diterima Allah.

Betapa cermatnya seseorang menjaga kesucian ibadah puasa tetapi antara dia dan isterinya atau suaminya masih ada dendam kesumat, maka puasanya itu hanya sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi tidak bererti di sisi Allah.

Betapa rajinnya seseorang memelihara nilai-nilai ibadah yang terkandung dalam puasanya, namun antara ia dengan jiran tetangga rumahnya atau rakan sepejabatnya masih belum bertegur sapa disebabkan dendam dalam dada. Maka puasanya juga tidak diterima oleh Allah.

Kurang dari segi penghayatan atau pendidikan Ramadan barangkali menjadikan diri tidak bersemangat. Kalau bersemangat pun tidak tahan lama, bersifat sementara dan hangat-hangat tahi ayam.

Lantaran itu, kita perlu buat persediaan yang matang seperti mana kita menghadapi musim peperiksaan atau temuduga untuk mendapatkan pekerjaan. Dengan ada niat seperti itu, Insya-Allah prestasi ibadah puasa kita mendapatkan keputusan yang cemerlang.

Kita perlu membuang fikiran di takuk lama seperti ibadah puasa hanya menjalankan adat dan tradisi. Atau menjalani puasa kerana bebanan sosial di mana jika kita tidak berpuasa maka akan dihukum oleh teman sepejabat dan masyarakat sekitar.

Kita perlu betulkan niat bahawa puasa hanya semata-mata lillahi ta'ala untuk menjadikan diri kita sebagai manusia yang bertakwa.

Dalam setahun yang terdapat 12 bulan hanya ada satu bulan Ramadan. Ia tidak sampai 10 peratus. Tetapi dengan melihat nilai kualitatif dan kepadatan ibadah yang ada di dalamnya, maka Ramadan menjadi sangat signifikan jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan sebelas bulan lainnya.



Justeru, alangkah naifnya kalau kita menghadapinya secara biasa-biasa sahaja.

Bersiap sedialah lebih awal untuk ke masjid. Jangan ambil mudah dengan mengatakan bahawa solat berjemaah dan solat tarawih hukumnya cuma sunat.

Demikian juga solat Subuh, usahakan untuk bersedia sebelum waktu imsak, pastikan semua urusan dapur sudah selesai. Lebih penting segala-galanya perlu siap sebelum azan dan kita sudah berada di masjid.

Anda sudah tentu tidak kehilangan kesempatan untuk solat tahiyatul masjid dan solat sunat rawatib yang nilainya lebih mulia daripada dunia berserta isinya.

Puasa juga mendidik kita untuk belajar bangun awal. Sesetengah daripada kita menganggap kerana hukumnya sunat maka sahur ditinggalkan. Kalau kita sudah biasakan diri untuk bangun lebih cepat selama sebulan Ramadan maka ini bererti kita sebenarnya sudah mampu untuk melakukannya di luar bulan Ramadan. Di mana lagi kita dapat miliki peluang seperti itu kalau tidak di bulan Ramadan selama sebulan terus-menerus.

Tidak tahan mengantuk juga menjadi masalah besar pada bulan Ramadan. Memang ada hadis yang menyatakan bahawa tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadah. Tetapi itu bukan perintah untuk memperbanyakkan tidur di bulan berkenaan.

Tidak ada contoh daripada Nabi, sahabat dan orang soleh mengenai hal ini. Malah Nabi mengurangi tidurnya pada malam-malam bulan Ramadan hingga batas yang paling minimum. Mereka banyak membaca al-Quran, berzikir dan sembahyang.

Sepintas lalu amalan-amalan seperti ini amat berat tetapi ia bukan terletak pada sesuatu amalan melainkan pada cara kita memikirkan amalan itu. Kalau kita memikirkan sesuatu itu berat maka ia dengan sendirinya menjadi berat, tetapi kalau kita memikirkannya mudah maka dengan sendirinya ia akan mudah.

Sebaik-baiknya sebelum puasa tiba, sesuaikanlah diri dengan amalan seperti solat wajib kerana sesetengah orang berpuasa tetapi tidak melaksanakan solat. Kemudian hidupkan solat-solat rawatib, sembahyang tahajud, berpuasa setiap Isnin dan Khamis, perbanyakkan sedekah, zikir, baca al-Quran, berdoa, dan hindari dosa-dosa kecil.

Sesungguhnya graf puasa nabi dan sahabat-sahabat meningkat berterusan sejak puasa pertama hingga hari puasa terakhir. Dan graf itu mengalami peningkatan yang amat tajam pada saat-saat akhir bulan Ramadan.

Tetapi bukan sedikit di antara kita yang grafnya terbalik. Semakin menjelang berlabuhnya Ramadan, semakin banyak masa dihabiskan dengan perkara-perkara yang tidak ada hubungan sama sekali dengan kesucian Ramadan. Kita lebih sibuk dengan baju baru, sibuk memikirkan pulang kampung dan sibuk membeli belah.

Perlu diingat persiapan material yang berlebih-lebihan hanya akan merosakkan makna dan tujuan puasa itu sendiri. Kita hidupkan Ramadan dengan penuh keinsafan dan jiwa raga bukan sekadar meramaikan dengan melakukan puasa, tarawih, tahajud, solat tasbih, witir, membaca al-Quran, zikir, doa, iktikaf, zakat, infak, sedekah, dan seterusnya takbir Aidilfitri.

Lebih daripada itu, jikalau dapat kita menjadikan rumah kita seperti suasana di masjid dengan bacaan al-Quran, solat sunat semua anggota keluarga.

Kita ciptakan hari-hari yang menyenangkan selama Ramadan dan jadikan rumah kita bak syurga.


Sumber









PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved