ONEXOX
BannerFans.com

‘Pendekar Ludah’ cemar Institusi Kesultanan Melayu

on Wednesday, August 27, 2014

SHAH ALAM, 27 OGOS: Tindakan sekumpulan individu meludah dan menghamburkan kata kesat kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad atas alasan ingin mempertahankan Institusi Kesultanan Melayu sebenarnya hanya mencemarkan institusi itu.

Mereka yang digelar sebagai ‘Pendekar Ludah’ sebenarnya  bertindak biadap kerana Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang berada bersama Khalid turut terkena percikan ludah berkenaan

Raja Kamarul Bahrin merupakan salah seorang kerabat diraja Terengganu dan Perak.

Khalid dalam sidang medianya hari ini menegaskan, tindakan liar dan samseng kumpulan berkenaan yang mengeluarkan kata kesat dan tidak berakhlak tiada kena mengena dengan institusi ini.

“Raja Kamarul Bahrin sendiri amat tersinggung dengan apa yang berlaku semalam.

“Bagaimana ingin membela institusi ini dengan perangai dan tindakan tidak beradab dan bertamadun sebegitu rupa, tanya dia kepada saya semasa perbualan telefon selepas peristiwa itu.

“Beliau sendiri terkena percikan geng ‘Pendekar Ludah’ sedangkan beliau sendiri kerabat diraja.

“Inilah masalah golongan yang sanggup dipergunakan orang lain kononnya atas dasar semangat tanpa ilmu. Akhirnya mencemarkan apa yang kononnya ingin diselamatkan,” katanya di pejabatnya hari ini.

Khalid semalam ‘diserang’ beberapa individu semasa dalam perjalanan meninggalkan Kompleks Mahkamah Jalan Duta selepas mengaku tidak bersalah atas dakwaan menghasut dalam kenyataannya menggesa kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dihapuskan.

Beliau bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM4,000 dan Ahli Parlimen Kuala Kerai, Dr Hatta Ramli dinamakan sebagai penjamin.

Katanya, seorang pemuda Melayu menemui beliau dan bertanya ‘adakah kamu YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam?’ lalu beliau berkata ‘ya’.

Namun, pemuda berkenaan bertindak meludah ke muka beliau dan Khalid hampir menumbuk pemuda berkenaan sebagai tindak balas namun ditenangkan oleh Raja Kamarul Bahrin yang berada disebelahnya lalu terus beredar.

Jelasnya, satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian berkenaan di IPK Shah Alam hari ini dan kes telah dirujuk ke IPK Sentul untuk siasatan selanjutnya.

Selain itu katanya, gambar individu berkenaan berjaya diperolehi dan sebahagian daripada mereka sudah dikenalpasti.

“Sekarang saya mahu tahu adakah ‘Pendekar Ludah’ ini benar-benar berani atau jenis manusia buang batu sorok tangan.

“Laporan polis telah saya buat  dan saya harap kalau mereka benar-benar yakin bahawa tindakan mereka wajar dibanggakan, tidak perlu polis membuang masa dan wang mencari mereka, serah diri sahaja untuk disiaaat,” kata beliau lagi.



Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved