ONEXOX
BannerFans.com

Sudah sampai masanya Rosmah diberi kelayakan guna Kapal Terbang Kerajaan sama seperti PM dan TPM

on Friday, January 2, 2015



Sejak Najib Razak mengambil kepimpinan negara pada 2009, sudah banyak kali isu penggunaan jet kerajaan oleh isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor timbul dan menjadi percakapan ramai.

Suatu ketika dahulu, penggunaan jet itu menjadi pertikaian apabila Rosmah didapati menggunakannya semasa menghadiri suatu program di Dubai bersama beberapa isteri menteri kabinet.

Beberapa penggunaan lain jet itu oleh Rosmah sama ada untuk kunjungan ke luar negara mahu pun perjalanan dalam negara, sentiasa saja menjadi bualan, pertikaian dan berita hangat di media-media.

Di Parlimen juga, kos perbelanjaan penggunaan jet oleh Rosmah yang melibatkan ratusan ribu ringgit wang rakyat turut pernah menjadi pertanyaan Ahli-Ahli Parlimen dan mereka mempertikaikan kelayakan isteri Perdana Menteri menggunakan kemudahan eksklusif itu.

Pendek kata, isu penggunaan jet oleh Rosmah sentiasa saja diperkatakan salah atau benarnya meskipun isteri Perdana Menteri dikatakan mendapat kebenaran khas daripada Kabinet atau pun daripada Najib sendiri selaku Perdana Menteri.

Kali ini, penggunaan jet oleh Rosmah kembali hangat apabila Najib yang sedang bercuti dan selepas bermain golf bersama Barack Obama di Hawaii didapati pulang sendirian untuk meninjau suasana banjir dalam negara dan meninggalkan pesawat khas itu di AS.

Ia segera menimbulkan andaian bahawa jet itu adalah untuk kegunaan Rosmah, apatah lagi ia dikesan melalui FlightRadar24 turut berkeliaran di ruang udara Indianapolis, Los Angelas, New York, Dubai dan Bangkok dan dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.




Berbanding era Mahathir dan Pak Lah, penggunaan jet oleh isteri Perdana Menteri tidak pernah menjadi isu. Ketika itu hanya Perdana Menteri yang menggunakan kemudahan itu sepenuhnya dan isteri mereka tidak pernah menggunakannya secara sendirian.

Tetapi kini isu jet begitu kerap menjadi mainan media berikutan Rosmah terlihat ghairah mahu menggunakan kemudahan itu. Mungkin sudah sampai masanya atas sebab-sebab tertentu seperti keperluan tugas, keselamatan dan memenuhi keinginan seorang yang penting dalam hidup Perdana Menteri, Najib perlu membuat keputusan rasmi dalam mesyuarat kabinet agar isterinya diberi kelayakan khas sepanjang masa menggunakan jet kerajaan itu.

Dengan itu, bermakna dari segi penggunaan jet, Rosmah dinaikkan taraf untuk layak dan bebas menggunakan kemudahan itu, sama seperti kelayakan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Jika jet kerajaan yang sedia ada tidak mencukupi, Najib juga boleh menempah sebuah lagi pesawat baru, sesuai dengan penggunaan yang bertambah ini. Lagi pula, kita adalah negara kaya dan hanya lima tahun lagi kita juga akan mencapai status negara maju 2020. Maka, isteri Perdana Menteri juga sudah selayaknya dipertingkatkan statusnya.

Melalui keputusan Kabinet itu, bermakna Rosmah bebas menggunakan jet kerajaan atas urusan rasmi, peribadi atau bercuti tanpa perlu meminta kebenaran khas sebagaimana amalan sekarang atau menggunakannya secara "curi-curi ayam" lagi.

Hanya dengan menaikkan taraf kelayakan isteri Perdana Menteri sebagai pengguna jet kerajaan yang sah dan layak saja dapat mengelakkan ianya daripada terus menjadi isu dan mainan di media-media.

Hanya dengannya juga mampu mengelakkan berulangnya kejadian seperti di Hawaii baru-baru ini di mana Najib terpaksa pulang sendirian menggunakan pesawat komersial untuk meninjau keadaan banjir di dalam negara sementara isteri dan keluarganya pula meneruskan percutian di AS

Sumber


PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri




Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved