WASHINGTON DC – Tiada apa-apa sambutan perayaan besar atau pesta konsert hiburan, namun bunyi gemuruh aneh dari langit yang menyerupai gema suara terompet berjaya dirakamkan ramai pihak di seluruh dunia.
Sehingga kini, bunyi pelik itu telah dikesan kedengaran di Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia, Rusia dan Jerman tetapi difahamkan suara tersebut juga dapat didengar di banyak negara cuma ia tidak dihebohkan sangat.
Beberapa pengguna media sosial membuat inisiatif sendiri merakam suara itu dan memuat naik menerusi laman YouTube; terbaharu 4 April lalu, bunyi tersebut direkodkan di Jerman sehingga menakutkan ramai penduduk.
Bagi umat Islam, fenomena bunyi gemuruh itu dikaitkan lebih menyerupai terompet‘sangkakala’, meskipun tiada siapa pula pernah mendengar bunyi sebenar penanda hari kiamat itu kerana logiknya ia belum pun lagi berlaku.
Di Kanada, seorang penduduk tempatan, Kimberly Wookey berjaya merakam banyak klip suara itu serta memuat naik dalam YouTube termasuk bunyi paling menyeramkan bulu roma yang direkodkan pada 29 Ogos tahun lalu.
”Ini adalah kali kedua saya mendengar sendiri suara-suara terompet semacam ini di Kanada,” tulisnya melalui akaun YouTube-nya. “Pertama kali pada pagi 19 Jun 2013, namun ia tidak sebesar yang sekarang,” ujar Wookey.
Biarpun bunyi yang dipercayai berasal dari ruang angkasa itu kedengaran aneh dan ngeri, beliau tidak pula ingin mengaitkannya dengan isu agama atau mistik, sebaliknya yakin suara itu berasal dari fenomena geofizik bumi.
Berbeza pengalaman Aaron Traylor dari Montana, AS cenderung percaya bunyi tersebut ada kaitan dengan magis, malah dirinya mengalami mimpi buruk berhari-hari setelah memuat naik video suara itu menerusi media sosial.
Isterinya pula kerap membangunkannya tengah malam kerana mendengar Traylor berteriak histeria sewaktu tidur sejak pertama kali mendengar bunyi terompet itu ketika berjalan di sekitar rumah dengan anak dan anjingnya.
Semasa kejadian tersebut, si anjing peliharaan Traylor tiba-tiba langsung membengkokkan kelopak telinga seperti cemas melihat benda seram dan anak perempuannya yang masih kecil turut berhenti melangkah kerana takut.
Dari sisi sains, pihak Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) di AS merumuskan keanehan itu sebagai suara latar bumi yang memang wujud secara semula jadi dan bukan bunyi kapal angkasa mahkluk asing.
”Kita sebenarnya boleh mendengar alunan simfoni khas berbentuk suara ribut yang pelik langsung dari planet kita, ia bukan bunyi dari pesawat,” kata jurucakap NASA yang dipetik pelbagai media tempatan di AS pada Isnin.
Menurut NASA, suara menyerupai gemuruh terompet itu dapat disamakan dengan runut muzik latar yang biasa kita tonton menerusi filem-filem sains fiksyen, cuma suara tersebut memang nyata berasal terus dari bumi.
NASA menjelaskan fenomena bunyi itu sebenarnya alamiah dan ada setiap waktu, namun, telinga manusia normal yang tidak dapat mengesannya atau tahap ‘volume‘ suaranya tidak terlalu besar.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment