Polis percaya punca kematian seorang lelaki dalam tangki simpanan air di sebuah kondominium di Bukit Damansara yang ditemui Selasa lalu adalah akibat bunuh diri.
Rakaman litar tertutup mendapati mangsa menuju ke kawasan tangki air berkenaan seorang diri, kata Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.
Mangsa, Chuan Wan Chooi, 43, berasal dari Padir Tuntong, Jeram, Klang tinggal bersendirian di sebuah rumah yang disediakan majikannya di Petaling Jaya.
Pihak polis masih menyiasat kehadiran mangsa ke lokasi terbabit. Ini kerana jarak lokasi kejadian dengan rumah mangsa kira-kira 10 kilometer.
“Kami telah merakamkan percakapan abang mangsa bagi membantu siasatan, namun polis tidak menolak kemungkinan mangsa membunuh diri.
“Memang tempat tangki itu berkunci tetapi masih ada ruang di bahagian atas untuk ke sana tanpa melalui pintu utama,” katanya dipetik Kosmo semalam.
Mayat mangsa ditemui pukul 9.25 malam selepas menerima aduan penghuni berhubung air yang keluar dari paip rumah berbau pelik dan busuk.
Abbas, 23, salah seorang penghuni memberitahu dia terkejut apabila air rumah yang didiaminya selama setahun itu mengeluarkan bau busuk seakan-akan bau air limbah sejak Ahad lepas.
Bau dan rasa air itu sedikit meloyakan, namun dia dan rakan serumahnya tidak peduli kerana beranggapan mungkin paip rumah mereka berkarat.
“Sudah lima hari kami minum dan mandi dengan air tersebut. Hanya kelmarin (Rabu) kami tahu bau pelik dan busuk itu akibat ada mayat dalam tangki berkenaan selepas mendapat notis gangguan air.
“Saya difahamkan pihak pengurusan telah membersihkan tangki itu,” kata pelajar Universiti Help itu ketika ditemui Kosmo.
Blok kondominium itu didiami hampir 1,000 penghuni.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment