ONEXOX
BannerFans.com

'Ke mana kami nak pergi kalau Uptown Dataran Senawang ditutup'

on Tuesday, August 11, 2015



SEREMBAN – Persatuan Peniaga Kecil Uptown Dataran Senawang di sini, mengharapkan ihsan kerajaan negeri supaya membenarkan mereka untuk terus menjalankan aktiviti perniagaan di situ.

Malah mereka juga sepakat untuk terus kekal berniaga walaupun arahan pengosongan tapak yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS) berakhir Jumaat ini.

Pengerusinya, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, keputusan itu terpaksa dibuat kerana kebanyakan peniaga tiada tempat lain untuk berniaga selain ia adalah sumber pendapatan mereka.

"Kita telah terima notis itu pada 31 Julai lalu dan diberi tempoh 14 hari untuk membersihkan dan mengosongkan tapak berkenaan.

"Tapi saya dah mesyuarat dengan peniaga dan kita sudah pun buat keputusan untuk buat rayuan dan tetap akan meneruskan perniagaan di sini seperti biasa. Saya bergantung kepada ahli saya dan sebagai pengerusi saya minta pandangan mereka semua," katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, mereka juga bersedia menghadapi risiko dan apa sahaja kemungkinan tindakan yang akan dikenakan.

Tambah Razali, beliau musykil kenapa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan arahan itu sedangkan aktiviti perniagaan di situ sudah maju dan menjadi antara tempat tumpuan ramai.

Razali berkata, sepatutnya PBT membantu para peniaga untuk mengembangkan perniagaan dan bukannya menutup periuk nasi mereka.

"Bila dah maju, saya hairan kenapa minta kita keluar. Ke mana lagi kami mahu pergi? Di sinilah punca pendapatan kami untuk menyara keluarga.

"Saya pun tak tahu sebab sebenar kenapa arahan pengosongan ini dibuat. Kalau ikut notis itu, peniaga diberitahu, mereka menjalankan perniagaan tanpa lesen di kawasan itu yang merupakan tapak tempat letak kereta awam," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta jasa baik pihak kerajaan negeri dan PBT untuk mempertimbangkan semula arahan tersebut dan memberi tempoh kepada peniaga untuk mencari lokasi baharu atau menyediakan tempat lain untuk mereka.

Ujar Razali lagi, kebanyakan peniaga menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan adalah sukar untuk mereka berniaga di kedai yang sewanya lebih tinggi iaitu antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

"Kita bukan nak cari masalah, tapi minta pertimbangan daripada kerajaan. Kalau tak dapat selesaikan juga, saya mungkin terpaksa guna cara lain iaitu merayu kepada peringkat yang lebih tinggi iaitu Jabatan Perdana Menteri (JPM)," katanya.

Sementara itu, peniaga minyak wangi, Suhana Abd Majid, 33, berkata, dia sangat berharap Uptown Dataran Senawang dapat dikekalkan kerana ia adalah sumber pendapatnya bagi menyara keluarga.

"Saya berniaga di sini sudah tiga tahun sejak uptown ini mula-mula beroperasi lagi. Masa itu keadaan di sini suram dan ada yang cakap tidak akan maju.

"Tapi bila perniagaan kami di sini semakin berkembang, ia diarah tutup pula. Saya risau sekarang, ke mana lagi saya nak pergi? Walau macam mana pun kalau boleh, saya akan cuba pertahankan uptown ini," katanya.

Manakala Zawiyah Mat Yusof, 47, pula berkata, dia tidak mampu untuk menyewa kedai dan peluang berniaga di tapak uptown terbabit membantunya mencari rezeki buat menyara keluarga.

"Saya sedih sebab baru setahun berniaga di sini, jadi pula macam ini. Sebagai peniaga kecil khususnya orang Melayu, yang kami mampu sewa gerai atau tapak uptown saja, sebab sewa kedai mahal.

"Tolonglah…biarlah tempat ini dikekalkan. Di sinilah tempat saya cari rezeki untuk menyara empat anak yang masih bersekolah," katanya.

Sementara itu Adun Paroi, Mohd Ghazali Wahid ketika dihubungi, menasihatkan para peniaga supaya mengikut arahan PBT bagi mengelakkan masalah lain berlaku.

Katanya, sebelum ini para peniaga berkenaan diberi peluang dan kini lesen kebenaran berniaga di situ telah tamat.

"Bagilah kerjasama dengan PBT, tempoh diberi telah pun tamat. Saya pun telah bagi nasihat kepada penganjur.

"Soal mereka mahu buat rayuan itu perkara lain. Yang penting sekarang dengar dan ikut arahan supaya tiada masalah lain berlaku," katanya.

Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved