ONEXOX
BannerFans.com

Pinjam pinggan mangkuk dengan Orang Bunian Jeram Tengkek

on Friday, August 7, 2015



KUALA PILAH – Hutan Lipur Jeram Tengkek adalah salah satu kawasan rekreasi yang disediakan di negeri  ini bukan sahaja untuk pencinta alam semula jadi menikmati dan menghargai keindahan ciptaan Tuhan.

Malah kawasan rekreasi itu dibangunkan untuk penduduk tempatan dan pengunjung luar meluangkan masa bersama ahli keluarga dan rakan-taulan melakukan aktiviti yang sesuai dengan bentuk muka bumi di situ.

Namun siapa sangka kawasan dipenuhi batuan besar lebih dikenali sebagai Jeram Tengkek itu mempunyai kisah menarik yang dikaitkan dengan masyarakat bunian.

Menurut penduduk kampung, Mohd Nasir Abdul Rahman, 83, terdapat kawasan di situ didakwa dijadikan tempat meminjam pinggan mangkuk penduduk kampung daripada masyarakat bunian.

“Kisah ini diceritakan oleh nenek moyang, jadi tidak dapat dipastikan sejauh mana kesahihannya. Tapi, difahamkan Onyang Doleng salah seorang peneroka asal yang dikatakan membuka kawasan ini," katanya.

Mohd Nasir berkata, mengikut sejarah, kampung itu memiliki padang kerbau atau dipanggil padang ragut yang dibuka ketika pendudukan tentera Jepun ke Tanah Melayu pada tahun 1943.

“Kawasan ini telah diratakan menggunakan bajak kerbau untuk tujuan tanaman padi. Bermula dari situlah, kawasan ini dinamakan padang kerbau tapi sawah di sini tidak menjadi kerana benih padi dibawa tentera Jepun adalah jenis padi Taiwan dan tidak sesuai ditanam di negara ini.

"Onyang Doleng dikatakan menyediakan kepuk padi iaitu bekas penyimpanan padi di Jeram Tengkek bagi mengelakkan padi dimakan haiwan perosak seperti tikus sebelum kepuk tersebut akhirnya bertukar menjadi batu," katanya.

Menurutnya, terdapat batu besar di kawasan itu menyerupai bekas kepuk, malah dikatakan ukiran seolah-olah penutup kepuk dapat dilihat jika batu berkenaan betul-betul diperhatikan.

“Batu itu juga diletakkan betul-betul di atas batu-batu kecil seperti alas kepada batu atau kepuk padi. Cerita ini disampaikan oleh nenek moyang saya. Terpulang kepada kita mahu percaya atau pun tidak,” katanya.

Bagaimanapun, kisah itu diakui Mohd Zahar Mohd Nor, 46, yang mengatakan turut pernah mendengar cerita sama mengenai Jeram Tengkek oleh orang terdahulu.

“Saya tahu batu itu dahulunya kepuk padi dan dikatakan bertukar menjadi batu kerana asal jeram ini adalah perkampungan bunian. Dahulu, orang kampung jika mahu meminjam pinggan mangkuk, mereka akan datang ke batu itu dan membakar kemenyan.

“Tetapi saya pun tidaklah dapat kepastian cerita ini. Boleh jadi hanya mitos. “Namun sekarang pemujaan itu sudah tiada, penduduk pun tidak ambil kisah kewujudan batu itu kerana dianggap ia batu biasa sahaja,” katanya.

Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved