ONEXOX
BannerFans.com

“Jumaat Hitam Di Haram”- Lelaki Ini Dedah Suasana Sebenar Ketika Kren Tumbang Di Masjidil Haram

on Monday, September 14, 2015

Sehingga malam semalam, kejadian kren tumbang di Masjidil Haram Jumaat lalu telah mengorbankan empat jemaah haji dari Malaysia iaitu Rohana Ismail, Munah Jusoh,  Siti Nurolshlizan Zolkifli dan Zainun Taha. Sementara itu dua lagi jemaah haji iaitu Abdul Habib Lahman dan Shahidan Saad masih hilang.

Menganggap bahawa hari tersebut sebagai “Jumaat Hitam Di Haram”, Hisham Sharif menerusi laman Facebooknya menceritakan situasi sebenar semasa kejadian.




Jumaat Hitam di Haram.

Tengahari itu saya dan isteri bergerak agak lewat ke masjid untuk solat Jumaat, hampir jam 11 juga kami bertolak kerana menunggu menu tengahari disediakan oleh pihak Tabung Haji. Pada mulanya, saya menyuruh isteri untuk solat di hotel sahaja kerana bimbang dengan keadaan lautan manusia yang luarbiasa tatkala musim haji semakin hampir, tapi dia teringin untuk ikut sekali untuk merasai pengalaman Jumaat di Haram yang pastinya tidak akan dapat dirasai di tempat-tempat lain di dunia.

Seperti biasa, kami berjalan kaki bersama ramai lagi jemaah lain lelaki dan wanita yang turut berpusu-pusu ke masjid, rata-ratanya dari benua Afrika dan India yang hotel mereka juga turut berada di jalan Ummul Qura. Cuaca tengahari itu dirasakan amat panas, lebih panas dari hari-hari yang lain.

Seperti yang dijangka, ketika kami tiba di Haram, pintu-pintu utama telah ditutup, dan para jemaah yang baru tiba diarahkan untuk ke bangunan tambahan yang baru siap. Dalam keadaan yang agak berhabuk kerana masih banyak struktur bangunan tambahan yang belum siap sepenuhnya, menunggu waktu Solat Jumaat dirasakan cukup lama, mujur ada rakan dari Kelantan yang sesekali menjadi teman berbual dikala lidah telah keletihan berzikir dan membaca Al Quran.

Selesai solat Jumaat, saya mengajak isteri untuk meronda-ronda di kawasan sekitar Haram, kami bercadang untuk menetap di masjid hingga solat Isya’ kerana telah selesai makan tengahari sebelum keluar dari hotel tadi.

Kami meninjau kawasan bangunan baru Sai’e petang itu. Dari bangunan tambahan tempat solat Jumaat, kami keluar kembali ke dataran luar dan masuk semula ke bahagian bangunan lama melalui pintu King Fahd (79), dari situ kami turun ke dataran tawaf, lalu di kawasan solat jenazah dan terus ke tempat Sai’e (Masa’a). Hampir setiap tingkat Sai’e kami tinjau sambil mengambil beberapa gambar sebagai kenang-kenangan. Dari tingkat teratas bangunan Sa’ie, kelihatan gah berdiri bangunan hotel Tabung Haji yang terletak di Janadriah yang menempatkan hampir 7000 jemaah Malaysia.

Selepas solat Asar, kami keluar seketika melalui pintu Sa’ie sebelah timur untuk ke tandas, ketika itu langit masih kelihatan cerah, cuma tidak sepanas tengahari tadi. Di pertengahan jalan, saya terjumpa dengan sahabat saya Ustaz Azrin yang turut dijemput menjadi tetamu Allah yang hadir melalui kuota Imam.Dari dataran bersebelahan bangunan Sa’ie, kelihatan kren-kren merah yang berdiri dengan cukup banyak di sekeliling. Sesekali saya merasa kagum sambil terselit juga rasa gerun.

Masuk semula ke bangunan, kami bercadang untuk tawaf di tingkat 1, tapi mungkin kerana saya ke tandas tadi, pintu untuk masuk ke tempat tawaf di tingkat 1 telah ditutup kerana ramainya manusia yang sedang bertawaf. Saya kemudiannya mengajak isteri untuk tawaf di dataran tapi disebabkan keadaan kesesakan luarbiasa, dia menolak, jadi, hanya saya seorang yang turun ke dataran dan kami berjanji untuk berjumpa nanti selepas solat Isya’ di pintu 74.

Kawasan tawaf di dataran memang biasanya sesak, tapi sesak petang itu memang luarbiasa, terutamanya di kawasan lampu hijau rukun Hajr Aswad tempat permulaan tawaf. Kaki hanya dapat melangkah dengan langkahan yang kecil sahaja, ditambah dengan rempuhan-rempuhan dan tolak menolak, memang terasa amat sukar untuk berjalan.

Belum sempat habis pusingan pertama, saya mendongak ke langit dan kelihatan langit mula bertukar warna, dari cerah tadinya, bertukar hitam dan kemudian menjadi sedikit kuning, ditambah pula dengan kilat yang sambar menyambar di celahan awan hitam.

Melihat keadaan langit yang pelik, saya merasa tidak sedap hati, mulanya saya ingin gagahkan diri untuk menyambung tawaf, tapi bila angin yang mengandungi pasir mula bertiup, saya terus masuk ke dalam masjid. Tidak ramai yang menuruti langkah saya, kebanyakannya meneruskan tawaf, dan masih ramai yang baru hendak turun ke dataran. Kelihatan beberapa kumpulan Jemaah Indonesia dan Turki yang sedang menuruni tangga menuju Mataf (tempat tawaf).

Ketika saya telah berada di atas, angin ribut luarbiasa bercampur pasir mula bertiup kencang, pasir-pasir halus turut masuk ke dalam masjid hingga membuatkan keadaan menjadi seolah jerebu di bahagian dalam. Dalam keadaan ribut dan samar-samar, saya mengintai ke atas, kelihatan tali kren melintuk liuk ditiup angin, entah mengapa saya semakin tidak sedap hati.

Setelah mengambil beberapa keping gambar, saya berjalan laju sambil mendail no isteri bagi memastikan kedudukannya. Saya memilih tempat yang agak hampir dengan pintu 74 untuk bertemu. Ketika ini kawasan dataran dan di luar pintu kelihatan malap, kelihatan angin pasir bertiup laju di luar, bunyi desiran ribut juga cukup menggerunkan.

Suasana semakin kecoh, makin ramai yang berlari masuk ke dalam, air hujan juga mula membasahi kawasan lantai masjid.

Sedang saya susah hati melihat keadaan di depan dan belakang sambil berfikir bagaimana hendak mencari isteri yang telah hampir kehabisan bateri telefon, seorang jemaah dari Ghana masuk dan duduk di sebelah saya sambil menangis teresak-esak. Saya bertanya kenapa, jelas beliau, sesuatu dari langit jatuh di dataran dan mengakibatkan ramai yang cedera parah dan kehilangan nyawa.

Dalam keadaan terkejut yang amat sangat, saya menelefon isteri, tapi tidak berangkat, terus saya menghantar mesej kepadanya memaklumkan keadaan genting yang sedang berlaku.

Saya kemudiannya menelefon Ustaz Azrin kerana teringatkan dia yang baru keluar ke tandas tadi, segera Ustaz Azrin menjawab dan dalam latar belakang bunyi yang agak bingit, kata ustaz, di depan matanya, ramai yang meninggal dan cedera parah.

Suasana semakin sesak dan kelam kabut, tiba-tiba terdengar orang menjerit, “tariq! tariq!” Sepantas kilat jemaah di depan saya bangun dan memberi laluan, kelihatan anggota paramedik bergegas keluar sambil mengusung seorang lelaki Arab yang jubahnya basah dengan darah. Seorang lelaki yang berdarah mukanya turut dibawa keluar. Di sebelah pintu King Fahd, orang ramai turut memberi laluan kepada anggota paramedik yang bertungkus lumus menjalankan kerja-kerja penyelamat.

Di celah-celah kekalutan itu saya terlihat isteri saya sedang melambai-lambai, terus saya bergegas mendapatkannya dan menceritakan apa yang berlaku. Disebabkan keadaan yang semakin kelam kabut, saya memutuskan untuk mengajaknya balik walaupun azan Maghrib baru berkumandang. Dengan bantuan seorang pengawal masjid, kami berjaya juga keluar dari bangunan masjid di celah-celah keributan orang ramai.

Dalam renyai-renyai hujan, kami solat diluar, di kawasan dataran dan setelah memberi salam, kami terus berlari-lari anak ke hotel. Dalam perjalanan pulang, kesan ribut amat jelas kelihatan, banyak sampah bertaburan di jalanan, ada siling yang runtuh dan kon-kon jalan yang tunggang terbalik.

Tiba di hotel, saya bertemu dengan pegawai Tabung Haji yang kelihatan sedang amat sibuk, kata beliau dengan ringkas, setakat ini, hampir 60 orang disahkan maut, dan jemaah Malaysia juga ada yang tercedera (setakat malam ini, hampir 200 orang disahkan maut dan beratus lagi yang tercedera).

Mengigil tubuh saya mendengar jumlah kematian yang dasyat, tambah membuatkan saya lemah, adalah saya baru sahaja melalui kawasan-kawasan yang ditimpa bencana tersebut. Setelah meneliti berita-berita dan gambar yang viral, barulah saya dapat tahu keadaan sebenar yang berlaku. Rupanya lebih dasyat dari apa yang saya bayangkan.

Kejadian ini adalah ujian besar buat seluruh kaum Muslimin. Tatkala umat Islam diuji di serata pelusuk dunia, umat yang berada di Tanah Suci juga tidak terkecuali dalam menerima bahagiannya.

Walauapapun, mereka yang gugur dalam tragedi semalam, meninggal dunia pada hari yang paling mulia dan di tempat yang paling mulia di atas muka bumi dalam keadaan beribadah kepada Allah. Moga Allah mengurniakan balasan syurga buat semua mereka yang terkorban dan melimpahkan kesabaran buat waris-waris mangsa yang terlibat.

Wukuf ada lagi 10 hari dan jemaah yang tiba juga makin lama makin bertambah. Moga Allah memelihara seluruh jemaah haji dari segala bala bencana dan musibah yang tidak mampu kami menanggungnya.

Innalillahi wa inna ilaihiraaji’uun.


Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved