KUALA LUMPUR, 26 APRIL 2013: Melihat tahun 2013 sebagai tahun untuk membina nama dan melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa, Shila Amzah telah pun melakar kejayaan yang belum pernah dikecapi oleh penyanyi tanah air.
Selain daripada konsertnya bersama bekas juara-juara China's Got Talent dan finalis Asian Wave 2012 di tiga lokasi di Amerika Syarikat, Shila Amzah telah dijemput untuk tampil solo dan berduet dalam konsert gah penyanyi Latin Julio Iglesias dalam '1 Tour in China' juga di tiga metropolis utama China iaitu Shanghai, Shenzen dan Beijing.
"Ia merupakan satu perasaan yang sukar digambarkan. Saya sangat teruja untuk berkongsi pentas dengan seorang penyanyi lagenda yang sudah berusia 70 tahun namun masih hebat menghiburkan peminat setianya.
"Daripada Julio Iglesias, saya belajar bagaimana untuk kekal sihat sepertinya dan dia memberitahu saya supaya menjaga pemakanan dan harus bersenam.
"Dia juga peramah dan mesra. Jadi tidak sukar untuk kami berbicara dengannya.
"Ini merupakan detik yang tidak akan saya lupa dan kami telah berduet untuk lagu All For You dan When You Tell Me That You Love Me,"ceritanya.
Menurut Shila Amzah, rencana awal kepulangannya ke tanah air kali ini adalah untuk menyiapkan album berbahasa Melayu.
Bagaimanapun dia tidak menyangka bahawa masih berpeluang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia pada Pilihanraya Umum 13, 5 Mei depan.
"Saya memang memperuntukkan cuti 2 minggu yang diberikan pihak pengurusan di Shanghai untuk menyelesaikan semua hal pembikinan album Melayu disini.
"Itu sahaja masa yang ada sebelum kembali sibuk.
"Tak sangka pula tarikh mengundi jatuh pada 5 Mei sebab pada mulanya rasa tak sempat kerana ada yang kata tarikh mengundi jatuh pada April.
"Memang saya teringin untuk mengundi dan saya sudah lebihkan masa di sini demi menunaikan tanggungjawab.
"Saya daftar tahun lepas di pejabat pos dan saya memang nak mengundi.
"Tetapi baru sahaja balik dua hari tak sempat lagi nak semak di mana lokasi saya akan membuang mengundi.
"Tempat dan lokasi mengundi tak sama dengan emak dan abah sebab mereka akan mengundi di kawasan rumah lama kami iaitu Setapak manakala saya akan mengundi di kawasan Cheras,"ujarnya yang teruja dapat menjalankan tugas sebagai rakyat Malaysia.
Tambah Shila, dia sudah bulat hati tentang pilihan dan undiannya pada 5 Mei ini.
Demi masa depan dan keharmonian yang sedia ada, Shila berharap keistimewaan dan kemakmuran Malaysia akan terus berkekalan.
Shila serta ibu dan bapanya akan kembali ke Shanghai pada 8 Mei depan.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment