Lans Koperal Hasri Mat Din, 56 dari Kampung Sega Tat, Raub yang dituduh menerima suapan rasuah sempat menutup muka menggunakan baju yang dipakai dan mengucapkan selamat tinggal kepada jurugambar itu sambil melambai dengan selipar di tangan.
Dia bersama dua anggota lain berpangkat Lans Koperal dan Konstabel dari Balai Polis Dong, Raub dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini semalam atas tuduhan menerima suapan RM300, September tahun lalu.
Tertuduh dan Konstabel Rohafizan Che Md Saupi, 26 dari Berek Polis Dong bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Manakala rakan mereka, Lans Koperal Farid Effendi Abu Bakar, 30 dari Kuarters Polis IPD Raub yang dituduh secara bersubahat menerima suapan daripada pengadu sama turut menafikan kesalahan itu.
Berdasarkan kertas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan bagi ketiga-tiga tertuduh itu, Hasri dan Rohafizan didakwa secara rasuah menerima suapan RM300 daripada seorang pesalah trafik sebagai dorongan tidak ambil tindakan setelah didapati memandu kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh, 21 September tahun lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dalam sebuah restoran di Dong, kira-kira jam 1.20 petang pada tarikh tersebut.
Bagi kesalahan itu mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta SPRM 2009.
Jika sabit kesalahan mereka berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana jumlah yang paling tinggi.
Manakala Farid Effendi yang dituduh bersubahat turut berdepan tuduhan sama namun kesnya dibaca mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama.
Dalam sebutan kes itu semalam, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Shafinas Shabudin menawarkan jaminan RM3,000 bagi setiap tertuduh.
Kesemua tertuduh yang diwakili ahli keluarga dan rakan difahamkan menjelaskan jaminan yang dikurangkan kepada RM1,500 selepas mereka membuat rayuan.
Dalam prosiding itu, Hakim Fathiyah Idris menegur penjamin dua daripada tertuduh kerana berpakaian tidak sesuai ketika berada dalam mahkamah.
Farid Effendi dan Rohafizan memberitahu mahkamah mereka akan melantik peguam manakala Hasri mengakui tidak mampu berbuat demikian.
Kes bagi ketiga-tiga tertuduh itu disebut semula 24 Julai depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment