ONEXOX
BannerFans.com

VIDEO: Konsert 'Aidilfitri' Metallica Di KL. Pemuda PAS Belum Beri Kata Putus, KJ MP Ghombau Pula Sokong! Yahooo...

on Thursday, July 4, 2013

KUALA LUMPUR: Peminat kumpulan heavy metal Metallica boleh menyaksikan konsert kumpulan tersebut di Malaysia tanpa perlu pergi ke Singapura, kerana mengikut pengumuman terbaru di laman sesawang Metallica, kumpulan itu akan mengadakan konsert di Stadium Merdeka pada 21 Ogos.

Konsert tersebut akan diadakan 3 hari sebelum persembahan mereka di Singapura pada 24 Ogos yang bertempat di Changi Exhibition Centre.

Kumpulan tersebut, menerusi laman sesawang rasmi mereka menyatakan rasa teruja kerana ini merupakan kali pertama mereka akan mengadakan konsert di Kuala Lumpur.

Tiket-tiket berharga RM195 hingga RM680 akan mula dijual Sabtu ini pada 11.30 pagi bertempat di Fahrenheit 88, Kuala Lumpur, sempena pelancaran eksklusif konsert Metallica.



Sementara itu, pembelian di kaunter dan online akan bermula pada 8 Julai.

Untuk maklumat lanjut, layari www.galaxy.com.my.

Metallica ditubuhkan pada tahun 1981 oleh Lars Ulrich dan James Hetfield. Sehingga kini, sebanyak 110 juta keping album mereka telah terjual di seluruh dunia.

Reaksi berkenaan kedatangan Metallica ke Malaysia menunjukkan ramai yang gembira namun terdapat segelintir peminat tegar yang sudah membeli tiket konsert di Singapura meluahkan rasa tidak puas hati.

Seorang pembaca Malaysian Digest yang hanya mahu dikenali sebagai Erwan berkata, "Saya harap konsert di Malaysia dibatalkan sebab saya dah beli tiket untuk konsert di Singapura!"

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menunjukkan reaksi positif.

Menerusi akaun Twitternya, Khairy berkata dengan kedatangan kumpulan-kumpulan seperti Metallica dan Smashing Pumpkins ke Malaysia, mungkin sudah tiba masanya kita tidak lagi 'kalah' kepada negara jiran Singapura.



Bekas pelakon, Wardina Safiyyah pula, menerusi akaun Twitternya berkata, "Antara Metallica dan Mesir, yang mana satu anda kisah?"

Khairy membalas Tweet Wardina dengan berkata kenapa tidak boleh keduanya sekali kerana minat orang muda hari ini adalah pelbagai.



Apa yang jelas, walaupun tidak sampai 24 jam pengumuman konsert Metallica dibuat, sudah ramai menunjukkan reaksi, biarpun teruja ataupun menentang.

Berkenaan dengan rundingan untuk membawa masuk Metallica, seorang pemerhati industri konsert di Malaysia memberitahu Malaysian Digest, perbincangan sudah bermula sejak 2011.





Carian di Google juga menemui beberapa blog yang memuat naik entri berkenaan konsert Metallica di Kuala Lumpur pada tahun 2011 namun perkara itu hanya khabar angin dan tiada kedengaran lagi sehinggalah hari ini pengumuman dibuat mengesahkan kumpulan terkenal itu akan datang ke Malaysia pada bulan Ogos nanti.

Pemerhati itu juga berkata bahawa persetujuan antara pengendali konsert dan Metallica adalah berlainan dari persetujuan dengan penyanyi-penyanyi lain yang pernah datang ke Malaysia.

Selalunya bayaran antara penganjur dan penyanyi adalah 50-50 ataupun penyanyi akan dibayar sejumlah wang tanpa mengambil kira berapa tiket yang terjual.

Berlainan dengan Metallica dimana kumpulan itu akan dibayar 90% termasuk jualan tiket, dan penganjur hanya mendapat 10% dari jumlah keseluruhan.

Ini bermakna, untuk mendapatkan balik modal, penganjur perlu menjual 80% daripada tiket-tiket yang disediakan.

Kumpulan Galaxy Group yang telah berjaya membawa masuk Metallica dan mereka telah berkolaborasi bersama LAMC dan Rockstar Touring yang juga bertanggungjawab membawa Metallica ke Singapura.

Tidak diketahui pula mengapa Galaxy Group bersetuju dengan rundingan yang kelihatan tidak akan mendatangkan keuntungan yang besar kepada syarikat itu.

Malaysian Digest turut menghubungi Dewan Pemuda PAS untuk mendapatkan reaksi mereka berkenaan konsert ini.

Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan Tantawi memberitahu mD, mereka belum ada sebarang reaksi terhadap kehadiran Metallica di Malaysia dan akan berjumpa dengan pihak kementerian yang bertanggungjawab sebelum memberi kenyataan secara menyeluruh.

Nasruddin berkata mereka sudah mempunyai banyak pengalaman dalam perkara sebegini dan menjelaskan tindakan sebelum ini tidak banyak memberi kesan.

"Walaupun ada konsert yang dibatalkan selepas menerima tentangan dari pihak kami, ada lagi konsert lain yang terus masuk. Apa yang ingin kami tegaskan di sini adalah dasar dan polisi perlu berubah.

"PAS tidak menentang hiburan. Kita cuma ingin cadangkan bentuk hiburan alternatif yang tidak keterlaluan dan tidak melanggar hukum syarak," katanya.

Nasruddin menegaskan bahawa harus ada garis panduan untuk konsert di Malaysia, dan perkara utama ialah hiburan itu tidak merosakkan moral umat Islam di negara ini.

"Kita tidak mahu kata Metallica tidak boleh membuat persembahan di Malaysia, tetapi sekiranya konsert itu boleh mengikut garis panduan yang kami tetapkan, boleh sahaja," kata Nasruddin.

Garis panduan yang dimaksudkan Nasruddin adalah tiada pakaian menjolok mata, tiada penyebaran budaya kuning dan senikata lagu tidak memuja arak, dadah dan perkara-perkara yang haram.

Berkenaan tarikh konsert tersebut yang jatuh dalam bulan Syawal, Nasruddin berkata seelok-eloknya penganjur konsert memastikan tarikh mana-mana persembahan di Malaysia tidak dibuat pada hari-hari kebesaran di dalam Islam.

"Sebaiknya tukarlah tarikh itu," kata Nasruddin kepada mD.

Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS telah beberapa kali menyuarakan tentangan terhadap beberapa artis barat yang ingin datang membuat persembahan di Malaysia.

Artis r&b Beyonce Knowles ditentang kerana pakaiannya yang menjolok mata, Elton John pula ditentang kerana gaya hidup homoseksualnya dan Michael Learns To Rock ditentang kerana tarikh konsert mereka di Genting Highlands jatuh pada bulan Ramadhan.

Bekas ahli parlimen Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Noordin pernah membuat laporan polis terhadap konsert Bob Dylan yang dibuat pada hari Maulidur Rasul (hari kelahiran Nabi Muhammad saw).



Berbalik kepada konsert Metallica, tidak diketahui setakat ini samada konsert tersebut akan berjalan lancar ataupun dibatalkan pada saat-saat akhir.

Apa yang pasti, tarikhnya yang jatuh pada bulan Syawal pasti akan menimbulkan rasa tidak senang pada sesetengah pihak.

Pihak penganjur seharusnya lebih sensitif dalam memilih tarikh sebelum membuat rundingan untuk aktiviti-aktiviti seperti ini di Malaysia.

Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved