Kenyataan Media
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Selangor
1. Wanita Pertubuhan IKRAM negeri Selangor mengecam keras fitnah yang disebarkan melalui laman media sosial mengenai sekumpulan wanita Melayu yang dituduh telah dimurtadkan di gereja. Tuduhan tidak berasas itu telah dibidas dengan jelas oleh seorang aktivis hak asasi wanita yang hadir dalam majlis yang telah disalahtafsir tersebut disiarkan dalam ruangan bahasa portal the Malaysian Insider pada 1 Mac 2014. Gambar tersebut yang telah diambil pada Februari 2012 sebenarnya menunjukkan para peserta yang hadir dalam sebuah program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang diadakan di dewan kuliah Institut Pemikiran Islam dan Ketamadunan di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Dalam program tersebut, para peserta yang terdiri daripada penjawat awam dan aktivis NGO telah hadir untuk membincangkan Dasar Keluarga Negara termasuk beberapa orang wanita yang bertudung litup.
Perbuatan fitnah yang tercela sebegini amat terlarang dalam Islam sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam al-Quran yang maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fitnah kepada orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang sangat pedih”. (Surah al-Buruj ayat 10)
2. Wanita Pertubuhan IKRAM negeri Selangor ingin melahirkan kekesalan terhadap tuduhan murtad yang dikaitkan dengan sekelompok wanita yang jelas menutup aurat sebagai lambang pegangan mereka terhadap Islam sebagai ad-deen. Fitnah ini dengan jelas telah menjatuhkan maruah wanita-wanita ini. Sejarah Islam jelas mengecam tuduhan melulu terhadap wanita sebegini sebagaimana dalam peristiwa fitnah yang telah menimpa diri Aisyah r.a., isteri Nabi Muhammad s.a.w. Di tengah-tengah kekeliruan masyarakat terhadap fitnah yang melanda ketika itu, Allah s.w.t. menjelaskan kesucian Saidatina Aisyah r.a. dalam al-Quran Surah an-Nur ayat 11 hingga 20. Antara ayat-ayatNya bermaksud:
“Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu. (14)
Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya. (15)”
3. Walau apa pun motif asal penulisan blog ini, akibat dari fitnah yang disebarkan ini membawa kesan yang sangat memudaratkan kepada orang yang difitnah; bukan sahaja mendapat aib malah menyebabkan tekanan jiwa dan perasaan yang berat serta membawa kepada gangguan kesihatan yang berpanjangan. Begitu besar akibat perbuatan fitnah ini sehingga ditegaskan bahawa dosanya lebih besar daripada dosa membunuh manusia yang tak bersalah. Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya: “Berbuat fitnah lebih besar dosanya daripada membunuh. (Surah al-Baqarah ayat 217)
4. Wanita Pertubuhan IKRAM negeri Selangor amat prihatin atas sikap pengguna media sosial yang turut sama bersekongkol menyebarkan berita fitnah ini tanpa usul periksa. Islam telah mengingatkan agar sentiasa waspada bila menerima sebarang perkhabaran sebagaimana firman Allah s.w.t. yang maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah (untuk menentukan kebenarannya) supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat ayat 6)
5. Wanita Pertubuhan IKRAM negeri Selangor dengan ini:
a. Meminta permohonan maaf secara terbuka oleh penulis dan penyebar fitnah ini kepada kesemua yang telah dituduh.
b. Menggesa pembuat dan penyebar fitnah agar segera bertaubat dan berhenti dari melakukan perbuatan yang hina ini.
c. Menyeru pengguna media sosial agar bersifat prihatin dan segera mengecam mana-mana blogger yang menyebarkan tuduhan yang tidak berasas sebegini
d. Mengajak umat Islam mengamalkan Islam sepenuhnya dalam kehidupan mereka agar menjadi contoh kepada ahli masyarakat yang lain dan menjadi warga negara yang membawa perubahan positif kepada negara Malaysia yang tercinta
e. Mengingatkan semua umat Islam agar memanfaatkan ruang masa dan usia yang masih berbaki untuk melakukan kebaikan sebanyak mungkin sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam al-Quran yang maksudnya: “Demi masa sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal salih dan saling nasihat menasihati kebenaran dan saling nasihat menasihati kepada kesabaran.” (Surah al-Asr ayat 1 hingga 3).
Prof Madya Dr Roohaida Othman
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Selangor
019 2225542
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment