ONEXOX
BannerFans.com

Air Bandung Tarik Penyegar Tekak Warga Teluk Intan

on Monday, May 26, 2014



KALAU ketika tengah hari panas terik, ubat mujarab untuk melegakan kering tekak sudah tentu air yang sejuk, lagi nikmat rasanya sekiranya berais.

Tetapi cuaca bahang akan cepat mencairkan ais menyebabkan air yang manis akan terasa tawar, kurang 'umph'.

Namun gerai Air Bandung Tarik Simpang Tiga Kampung Bahagia di Teluk Intan amat memahami kehendak pelanggan dengan menyediakan pelbagai jenis air terutama air bandung tanpa menjejaskan kemanisannya.

Penulis turut berpeluang merasai air bandung tarik ini dan mendapati kepekatan manisnya tidak dapat disangkal lagi.

Nama 'tarik' sahaja sudah cukup unik kerana kebiasaannya hanya teh tarik menjadi pilihan kebanyakan rakyat Malaysia.



Berbekalkan hanya tong besi, penutupnya diubah suai menjadi pengepam yang bertujuan untuk mengekalkan kepekatan manisnya.

Pengusahanya, Abdul Malik Abdullah Tarlib, 34, berkata, pengepam khas itu bertindak untuk mengepam air yang diisi yang dilihat seolah-olah ia ditarik ke atas dan ke bawah.

Beliau berkata, idea berkenaan dicetuskan oleh arwah datuknya, Salleh Abdullah yang mengamalkannya sebelum ia diturunkan kepada ayahnya, Abdullah Tarlib Salleh bersama sembilan adik-beradik lain.

Katanya, perniagaan itu dijalankan secara kecil-kecilan selama lebih sedekad lalu sejak 2001.

"Air yang ditarik akan membuatkan air itu lebih sebati dengan bahan perisanya sekali gus kemanisannya lebih pekat.

"Tong air bandung ini tidak diisikan ais. Saya letakkan secara berasingan di dalam bekas khas.

"Bila pelanggan datang nak beli barulah saya campurkan ais di dalam bekas minuman plastik. Rasanya seperti baru dibuat," katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.



Beliau yang berniaga seawal pukul 11 pagi sehingga pukul 6 petang setiap hari berkata, teknik 'menarik' air bandung itu memudahkan persiapan operasinya.

Menurut anak kelahiran Teluk Intan ini, tiada tambahan ais diperlukan atau gula bagi memastikan rasa manis air bandung berkenaan.

Menariknya, air bandung yang dibuat berbeza daripada kebanyakan air bandung dijual peniaga lain.

"Kebanyakan mereka menggunakan susu dan air gula tetapi saya mengamalkan ramuan santan dan gula melaka. Ini menjadikan kepekatannya jauh berbeza dan manisnya bertahan lama," katanya.

Bagi pandangan penulis secara peribadi, keistimewaan air bandung ini kerana turut mempunyai rasa cendol dengan santan berlemak manis dalam erti kata lain mempunyai rasa dua dalam satu.

Keunikan cara pembuatan dan keenakan airnya membuatkan Gerai Air Bandung Simpang Tiga Kampung Bahagia begitu dikenali di Teluk Intan malah ia turut dikunjungi orang luar.



Menurut Abdul Malik, selain penduduk tempatan yang menjadi pelanggan setianya setiap hari, air bandungnya turut mendapat perhatian pelanggan dari Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang.

Tambahnya, sambutan mengalakkan itu menyebabkan beliau perlu bersedia dengan bekalan air bandung yang lebih banyak.

"Saya membawa satu tong pada hari biasa dan tiga tong pada hujung minggu. Saya boleh mencatatkan jualan sehingga 250 dan 300 cawan sehari," katanya.

Dengan musim Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan ketika ini pastinya dapat mengangkat lagi populariti air bandung yang diusahakan Abdul Malik sekali gus meningkatkan hasil jualan.

"Saya berharap jualan saya akan bertambah semasa pilihan raya kecil di sini. Pengundi-pengundi dari luar sudah tentu tidak terlepas peluang merasai air bandung tarik ini," katanya.

Selain air bandung, Gerai Air Bandung Simpang Tiga Kampung Bahagia di Teluk Intan turut menjual air kelapa, air tembikai, cendol, buah-buahan, keropok dan agar-agar.

Sumber







PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved