ONEXOX
BannerFans.com

Kerajaan BN prihatin. Kabinet setuju ‘top-up’ beli RM10 dapat RM10

on Wednesday, May 13, 2015



PUTRAJAYA - Kabinet hari ini bersetuju supaya kad tambah nilai prabayar telefon dijual pada harga RM10 akan mendapat nilai yang sama apabila diaktifkan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk tambah nilai kad prabayar akan dikenakan atas penggunaan iaitu apabila pengguna menggunakannya.

"Kerajaan berpandangan cara ini adalah lebih sesuai kerana kerajaan tidak akan mengambil cukai sebelum perkhidmatan digunakan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata syarikat-syarikat telekomunikasi dikehendaki melaksanakan kaedah dan pendekatan 'beli RM10 dapat RM10' sepenuhnya dalam tempoh enam bulan.

Pada masa yang sama, katanya, pengenaan GST atas tambah nilai prabayar akan diteruskan pada kaedah sedia ada sehingga formula 'beli RM10 dapat RM10' dilaksanakan.

Bagi mengimbangi kesan pengenaan GST, Ahmad Shabery berkata kementerian telah meminta syarikat telekomunikasi untuk menurunkan tarif perkhidmatan mereka.

Syarikat telekomunikasi juga digesa menawarkan pakej-pakej mampu milik kepada golongan sasar seperti pelajar, katanya.

"Dulu panggilan dikenakan RM2.40 tetapi kini ia hanya 0.33 sen. Tidak mustahil kadar ini akan turun lagi pada masa akan datang. Trend menunjukkan ia akan semakin murah dan tidak membebankan rakyat dan tidak merugikan syarikat telekomunikasi.  

"Kita berharap industri telekomunikasi terus berkembang dengan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.

Ahmad Shabery menjelaskan bahawa formula ‘beli RM10 dapat RM10’ itu memerlukan masa enam bulan bagi syarikat telekomunikasi mengkonfigurasi sistem.

Beliau berkata ia akan melalui satu proses yang rumit dan melibatkan pelbagai lapisan dan ejen pengedaran serta pelbagai pilihan pengisian tambah nilai prabayar seperti kad fizikal, tambah nilai secara maya, internet dan perbankan mudah alih serta mesin ATM.

Sebelum ini, katanya, ia mengambil masa lapan hingga 10 bulan untuk mengkonfigurasi sistem untuk melaksanakan GST pada 1 April yang lepas.

Ahmad Shabery berkata kerajaan akan sentiasa memastikan agar pelaksanaannya tidak merugikan rakyat.

“Dalam masa yang sama, kerajaan juga ingin melihat tahap kualiti perkhidmatan yang baik daripada syarikat-syarikat telekomunikasi,” katanya.

Ekonomi sektor prabayar adalah besar dengan hasil kira-kira RM15 bilion setahun.

Sebelum ini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengarahkan syarikat telekomunikasi agar menetapkan semula harga kad prabayar telefon kepada harga asal iaitu seperti sebelum pelaksanaan GST pada 1 April.

Namun, arahan yang sepatutnya berkuat kuasa 1 Mei itu ditangguh selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia membuat kenyataan bahawa agak mustahil perkara itu dilaksanakan kerana kerumitan untuk membuat konfigurasi semula pada sistem bagi menyelaraskan harga jualan.

Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved