ONEXOX
BannerFans.com

Walau tak puas hati pasal GST, jangan lupa jasa kerajaan

on Monday, May 4, 2015



MUADZAM SHAH - Rakyat diminta tidak melupakan jasa kerajaan dalam membangunkan negara ini walaupun kini tidak berpuas hati dengan beberapa isu termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar wujudnya rasa tidak puas hati rakyat dan akan menggandakan usaha bagi melindungi kepentingan mereka.
   
"Saya harap mereka tidak marahkan kerajaan sebegitu rupa sehingga mereka lupa tentang usaha kita lakukan selama ini untuk membantu mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Dewan Semai Bakti di Felda Keratong 4 dekat sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK Parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan meningkatkan penguatkuasaan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba mengambil kesempatan berikutan pelaksanaan GST sehingga membebankan kehidupan rakyat.

Ditanya jika BN menang di PRK Rompin, sama ada kemenangan itu memberi kesan pada PRK Permatang Pauh, Muhyiddin berkata menjadi harapan BN untuk membawa limpahan kejayaan itu ke sana.
   
Namun, katanya, situasi, latar belakang dan isu berbangkit di kawasan Parlimen Permatang Pauh jauh berbeza dengan Parlimen Rompin.

Timbalan perdana menteri turut berkata adalah tidak munasabah untuk menjadikan GST sebagai kayu pengukur dalam menentukan penerimaaan dan penolakan rakyat dalam kedua-dua PRK itu.
   
Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, kemudian menghadiri taklimat tertutup jentera BN di pejabat Umno Bahagian Rompin.
   
Beliau yang tiba jam 5.20 petang berada kira-kira 45 minit mendengar taklimat yang disampaikan Setiausaha Umno Bahagian Rompin, Datuk Wan Kadri Wan Mahusain.
   
PRK Rompin menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Datuk Hasan Arifin dan calon Pas, Nazri Ahmad bagi mengisi kekosongan kerusi itu berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis pada 4 April lalu akibat nahas helikopter di Semenyih, Selangor.
   
Sejumlah 52,744 pengundi layak untuk mengundi di 38 pusat mengundi esok, manakala 464 atau 85.1 peratus daripada 545 pengundi awal telah menunaikan
tanggungjawab mereka pada Khamis lalu.

Sumber


PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved