ONEXOX
BannerFans.com

Bye Bye Lekir, Ultras Malaya

on Sunday, September 13, 2015



Sekian lama saya hanya mendengar cerita mengenai Ultras Malaya. Hebat mereka bersorak dan bersatu menyokong pasukan negara sehingga dikatakan mampu menaikkan semangat juang pemain di padang. Nama mereka terserlah dan mendapat pujian sehingga saya tergerak hati menyaksikan sendiri aksi mereka dalam beberapa perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Memang mengagumkan.

Hebat sehingga meremang bulu tengkuk saya mendengar sorakan, nyanyian dan kombinasi gerak mereka, sekali gus hati turut terpaut. Dua anak saya masing-masing berumur 10 dan 14 tahun juga demikian sehingga sanggup menunggu lama dalam stadium bersorak bersama Ultras Malaya, walaupun perlawanan sudah lama tamat. Kekaguman terhadap mereka juga mendorong saya mencadangkan supaya akhbar ini menyiarkan laporan khas mengenai sejarah penubuhan Ultras Malaya. Ia disiarkan juga dalam portal berita BHonline. Sambutan pembaca menerusi komen dan likes Facebook mencecah ratusan ribu. Namun, bagi saya semuanya berakhir dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Zon Asia antara Harimau Malaya dengan Arab Saudi, di Stadium Shah Alam, baru-baru ini. Minat dan kekaguman terhadap Ultras Malaya lenyap sepenuhnya apabila puluhan suar dan mercun roket dilancarkan dalam tindakan terancang tiga minit sebelum perlawanan tamat.

Kotor sungguh tindakan mereka. Memalukan negara dan 'menghancurkan' harapan dua anak saya. Alasan kononnya untuk mendesak pengurusan tertinggi FAM meletakkan jawatan tidak dapat diterima. Bukan begitu caranya. Ada kaedah lain yang lebih bertamadun. Bukan budaya samseng, apatah lagi ia dirancang begitu rapi dengan menyeludup masuk bahan terlarang menerusi peniaga kecil dan penjual minuman. Saya ada bukti ia terancang rapi. Saya menonton perlawanan menerusi siaran langsung televisyen di pejabat. Beberapa minit sebelum tamat separuh masa pertama, seseorang memaklumkan penyokong Ultras Malaya hanya menunggu isyarat untuk melancarkan suar dan mercun roket. Ia benar-benar berlaku. Tanpa rasa hormat atau bimbang, padang diserang. Mereka umpama mengamuk dengan mencabut kerusi dan dilontar ke padang. Sempat saya saksikan di kaca televisyen jurulatih Arab Saudi terkejut mendengar bunyi mercun roket dilancarkan sambil mengarahkan pemainnya meninggalkan padang. Menyaksikannya menerusi kaca televisyen, saya berpendapat ia bukan dilakukan oleh mereka yang waras dan bertamadun seperti anda dan saya. Tidakkah mereka terfikir ramai yang mungkin tercedera, bukan sahaja pemain, malah penonton, termasuk kanak-kanak dan wanita. Kepada penyokong setia dan tegar Ultras Malaya, terutama Lekir yang didakwa ketua mereka, saya juga seperti anda. Menyokong Harimau Malaya dan mahu FAM berubah, tetapi itu bukan caranya. Kepada polis, mahkamah dan FAM bertindaklah mengikut undang-undang. Dakwa dan jatuhkan hukuman paling berat jika ada bukti pembabitan mereka sebagai pengajaran. Seorang penyokong tegar dengan bangganya berkata kepada saya, pihak berkuasa tidak boleh mengharamkan Ultras Malaya kerana ia tidak berdaftar. Saya ingin jelaskan bahawa pelakunya boleh dikenakan hukuman dan FAM mungkin boleh haramkan mereka daripada memasuki stadium seperti yang dilakukan oleh pengendali liga di luar negara. Akhir kalam, selamat tinggal Lekir dan Ultras Malaya. Tiada sudah rasa bangga dan hormat. Kamu mengecewakan.

Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved