ONEXOX
BannerFans.com

Maharom bersumpah terus setia bersama UMNO hingga akhir hayat

on Wednesday, December 2, 2015



KUALA LUMPUR: “Saya bersumpah atas nama tuhan, tidak akan keluar dari parti UMNO. Hidup dan mati akan tetap setia bersama UMNO,” itulah kata-kata Maharom Panjang Wahad.

Namanya mungkin tidak pernah didengari di dada-dada akhbar, namun wanita berusia 79 tahun inilah yang melahirkan Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman.

Maharom yang membahasakan dirinya sebagai makcik menceritakan bahawa beliau dan keluarganya merupakan penyokong tegar parti Melayu itu.

“Sampai tutup mata (meninggal), makcik tidak akan berubah kepada parti lain,” ujarnya.

Malah, ibu kepada enam orang ini turut berpesan kepada anak-anaknya agar terus setia hingga ke akhir hayat kepada parti yang diasaskan oleh Presiden UMNO pertama, Dato’ Onn Jaafar.

“Makcik pesan pada anak-anak makcik, jangan keluar dan tinggalkan UMNO. Kami (ahli keluarga) tidak akan berundur dari UMNO. Makcik juga sudah sebati dengan UMNO

“Tidak usahlah sokong pembangkang. Sokonglah UMNO. Sekarang ini, kalau ada yang ugut untuk kerat dan desak makcik keluar dari UMNO, makcik takkan keluar maka keratlah,” katanya.

Kecintaan Maharom kepada UMNO itu bersandarkan kepada pengalaman perit yang beliau lalui ketika dijajah oleh pihak Jepun dan komunis.

“Makcik sudah rasa susah di zaman Jepun dan Komunis. Dulu, nak makan dan buat segalanya susah,” ceritanya.

Menceritakan pengalaman kepada Free Malaysia Today (FMT), wanita tua yang masih sihat tubuh badannya itu sanggup mengorbankan cincin perkahwinannya bagi menanggung sedikit sebanyak perbelanjaan Tuanku Abdul Rahman ke London untuk memerdekakan negara.

Bahkan, demi perjuangan untuk anak bangsa, wanita ini sanggup merahsiakan mengenai status cincin perkahwinan hadiah pemberian suami yang tercinta.

“Bila Tuanku Abdul Rahman hendak memerdekakan negara. Kami beramai-ramai berikan sedekah dan derma.

“Masa itu, makcik tidak ada wang, jadi makcik serahkan cincin perkahwinan. Digadai dengan harga RM9.00,” ujarnya.

Mengimbau kenangan ketika zaman sebelum Merdeka, Maharom berkata ketika itu beliau tidak sabar untuk melihat anak Melayu memerintah negara.

“Makcik hendak sangat orang Melayu memerintah negara kita. Mereka (para pemimpin) kata jika Merdeka, rakyat akan hidup senang. Sebab itu makcik berharap sangat,” katanya.

Beliau yang kini sudah mencecah usia 79 tahun turut melahirkan rasa sedihnya terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihatnya sebagai punca negara dalam keadaan kucar-kacir.

Dalam keadaan sebak, Maharom menjelaskan bahawa beliau bimbang mengenai nasib anak cucunya pada masa akan datang jika keadaan ini berterusan.

“Zaman Tunku Abdul Rahman sampai zaman Tun Hussein Onn pegang memang bersih. Makcik berani cakap, zaman ini kucar-kacir.

“Susah hati makcik, susah hati mengenai apa yang akan jadi pada anak cucu makcik pada masa akan datang,” katanya yang kelihatan sebak mengenangkan masa depan parti Melayu itu.

Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved