KUALA PILAH – Kebiasaannya tugas dan tanggungjawab memelihara keselamatan kampung digalas oleh kaum lelaki terutama dalam membuat rondaan pada waktu malam.
Bagaimanapun, di Dangi lain pula ceritanya apabila tugas melakukan rondaan turut dilakukan oleh golongan wanita dalam membantu mengurangkan kadar jenayah di kawasan terbabit.
Ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) Rukun Tetangga (RT) Dangi, Norhayati Abdullah berkata, dia tidak kekok untuk menjaga keselamatan kampung malah lebih seronok kerana dapat bertemu dengan masyarakat.
Katanya, banyak pengalaman pahit manis diperoleh sepanjang menjadi ahli SRS.
"Kita pernah berdepan dengan tindakan seorang pemabuk yang bertindak membuang botol kaca dari atas bangunan ke arah pasar malam., sekali gus membahayakan orang ramai yang ketika alu lalang di situ.
"Jadi sebagai ahli SRS, kita memberanikan diri mengetuk pintu rumah individu terbabit bersama orang kampung supaya memberhentikan kerja tak berfaedah itu.
"Selain itu, kita juga pernah membantu pemandu teksi yang hilang kawalan dan terjatuh ke dalam longkang. Kami bukan sahaja menjaga keselamatan penduduk tetapi turut membantu sesiapa jua yang mengalami kesusahan. Itulah semangat wanita meskipun kami dianggap lemah," katanya.
Dalam pada itu, kata Norhayati, aktiviti rondaan dijalankan secara berkumpulan terdiri daripada lebih dari tiga orang bagi setiap kumpulan.
"Pasar malam dibuka setiap Isnin dan peranan SRS membantu memelihara keselamatan supaya tiada kes curi ataupun kemalangan berlaku.
"Bila kawasan berkenaan menjadi tumpuan, kita bimbang akan berlaku kes jenayah. Maka peranan kami membuat rondaan di pasar malam dan sekitar taman sejurus melaporkan diri di Balai Polis Dangi," katanya.
Jelasnya, buat masa ini, kawasan lokaliti SRS Dangi dalam keadaan terkawal selain kadar jenayah berkurangan.
"Bila rondaan dibuat pada waktu malam, kebarangkalian untuk berlaku kes kecurian, pecah rumah dilihat terkawal.
"Meskipun di sini ramai pekerja warga asing yang bekerja di ladang kelapa sawit, tetapi kes jenayah berkurangan kerana rondaan secara kerap dilakukan demi keselamatan penduduk," katanya.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment