PETALING JAYA: Seniman Datuk Abdul Aziz Sattar, 89, meninggal dunia di Pusat Perubatan KPJ Kajang dekat sini kira-kira pukul 2 pagi Selasa.
Berita kematian Allahyarham itu disahkan oleh cucunya, Abu Ubaidah A. Ishak menerusi Twitter miliknya kira-kira pukul 2.15 pagi.
“Atok saya, Datuk Aziz Sattar telah menghembuskan nafas terakhir jam 2 pagi tadi (Selasa). Sedekahkan Al-Fatihah,” katanya dalam Twitter miliknya itu.
Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung.
Terdahulu pada malam Ahad lalu Allahyarham dikejarkan ke pusat perubatan berkenaan akibat serangan jantung tetapi keadaannya dilaporkan stabil dan ditempatkan di Unit Rawatan Korinari (CCU).
Allahyarham yang dilahirkan di Surabaya, Indonesia merupakan rakan seangkatan seniman Tan Sri P.Ramlee dan popular menerusi filem Bujang Lapok.
Beliau juga pernah menyertai kumpulan pancaragam Pancasitara yang dianggotai oleh P.Ramlee, Normadiah, Aziz Jaafar, Ahmad C dan Kassim Masdor pada awal tahun 1950an.
Selain berpuluh-puluh filem lakonannya, Allahyarham juga pernah mengarah filem seperti Keluarga Si Comat (1975), Si Badol (1979), Prebet Lapok (1979), Penyamun Tarbus (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982) dan Darah Satria (1993).
Pada tahun 2007, Allahyarham menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk.
Antara kisah menarik Allahyarham, beliau pernah disiksa oleh tentera Jepun kerana dituduh mencuri selain dikenakan penjara selama enam bulan selepas disyaki terlibat dalam kes rusuhan Natrah di singapura pada tahun 1950-an.
Allahyarham pernah empat kali berkahwin tetapi hanya dua pernikahannya sahaja yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga bercerai) dan seniwati Dayang Sofia (isteri keempat - bercerai).
Hasil perkongsian hidup, beliau dikurniakan tujuh anak.
Pada 16 Disember 2006 Allahyarham berkahwin dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam dekat sini dengan mas kahwin RM100.
Ketika berita ini ditulis kira-kira pukul 2.30 pagi, mStar Online difahamkan jenazah Allahyarham masih ditempatkan di Pusat Perubatan KPJ Kajang dan urusan pengebumian akan dimaklumkan selepas semua ahli keluarga berkumpul.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 1 comments... read them below or add one }
alfatiha, turut berduka cita.. semoga amalan ibadah beliau diterima allah.. amin :)
May 5, 2014 at 8:43 PM
Post a Comment