SABTU minggu lepas, saya berkira-kira hendak hadiri majlis kenduri tidak jauh dari rumah. Sampai dekat, terkejut apabila mendapati khemah di depan rumah kenduri itu tidak ada orang. Masa itu sudah pukul satu, masakan belum ada orang datang?
Saya minta isteri tengok semula kad jemputan. Sah! Kami tersilap tarikh. Kenduri di rumah itu esoknya.
Sehari sebelum itu, saya sudahpun minta isteri pastikan tarikh kenduri kerana pada dua hari hujung minggu itu, ada beberapa kenduri yang perlu dihadiri.
Mujur kami belum sampai terlalu dekat dengan rumah dan tidak buat ramah mencari dan bertanya di mana tuan rumah: "Awak kat mana? Awak kat mana?" apabila mendapati tidak ada sesiapa di khemah.
Kalau dia pula yang sedar kehadiran saya yang berbaju batik hari itu, mungkin pula yang akan disindir: "Datang nak merewang pun pakai bukan main lawa!"
Akhirnya saya suruh isteri dan anak-anak masuk semula ke dalam kereta, "jom kita pergi kenduri yang satu lagi... di sini esok baru kenduri."
Seorang daripada anak saya bertanya: "Kenapa ayah? Dia orang tak jadi kenduri ke? Esok baru nak kenduri?"
Saya yang sudah berasa termalu sendiri sekadar mampu berkata: "Ayah yang ubah kenduri dia orang jadi esok!"
Kereta kami terus meluncur ke Sungai Buloh. Mujur ada satu lagi kenduri yang sudah disahkan di sana, tidaklah kempunan kami anak beranak nak makan nasi minyak tengah hari itu.
Ya, cerita tersilap rumah, tersilap tarikh dan macam-macam lagi kesilapan berkaitan kenduri, memang banyak berlaku. Sekarang musim orang kahwin, ada wajarnya untuk saya mengingatkan diri sendiri, juga orang lain tentang itu supaya jangan ada yang tersilap seperti saya hujung minggu lepas.
Pada hari itu, memang sejak awal lagi saya sudah menyiapkan perut untuk makan nasi kenduri. Justeru, apabila itu yang berlaku, memang kecewalah. Tambahan pula perut sudah mula berkeroncong. Walaupun ada kenduri lain yang boleh dihadiri, tempatnya agak jauh dan ambil masa.
Sungguhpun demikian, apa yang saya alami itu tidaklah seteruk pengalaman seorang rakan sekerja saya. Dia bukan tersilap tarikh bahkan tersilap rumah.
Alkisahnya, rakan saya itu pergi meraikan seorang kawannya yang naik pelamin. Kebetulan pada hari itu, ada dua majlis kahwin di kawasan perumahan yang sama. Menyangka dia sudah tuju di rumah yang betul, hadiah yang dibawa pun bertukar tangan.
Alangkah terkejutnya rakan saya tatkala berborak seketika dengan orang yang menyambut ketibaannya, nama pengantin yang disebut bukanlah nama kawannya itu.
"Mahu tak mahu, dengan tebal muka yang teramat sangat, terpaksalah aku minta balik hadiah yang sudah dibagi itu. Biarlah apa orang tu nak kata, aku pun belum lagi jamah nasi kenduri dia. Kalau sudah terlanjur makan kenyang, tak sampailah hati aku nak minta balik," katanya.
Seorang lagi kawan, lain pula ceritanya. Dia datang ke rumah kenduri seminggu awal daripada tarikh majlis.
"Hajat hati nak makan nasi beriyani, yang dapat hanya peknga (lempeng)," keluh kawan saya itu.
Melalui pengalaman seperti ini, juga perkongsian kisah dengan kawan-kawan, saya tertanya-tanya, mengapa perkara ini boleh terjadi?
Kita imbas semula pengalaman hidup di kampung pada zaman kanak-kanak tahun 1970an dan awal 1980an. Dua tiga minggu sebelum berlangsung, siang malam orang sudah bertandang ke rumah tuan kenduri. Yang menoreh tidak ke kebun, yang bersawah tidak turun bendang. Seluruh kampung bersepakat membantu tuan rumah melangsungkan majlis dengan lancar dan jaya. Ada sahaja yang dibuat daripada menebang buluh, membelah kayu, menyiapkan tungku, menjahit atap, mendirikan balai dan bangsal gedohok (tempat memasak, menghidang).
Yang wanita cara wanita. Memasak kerisek atau serai lengkuas, menyiapkan kuih-muih atau apa sahaja kerja. Tahap kerja akan berubah tatkala tarikh kenduri semakin hampir. Apa yang pasti, semua kerja dibuat secara gotong-royong dan tidak ada sesiapa yang berani culas kerana takut akan dibalas.
Itulah bezanya dahulu dengan sekarang. Orang sekarang hanya tahu hadir untuk penuhi jemputan, datang makan juadah yang sudah siap dihidang. Sekarang zaman senang, tidak perlu rewang.
Ada baiknya, tetapi yang buruk, inilah ... seperti apa yang terjadi pada saya.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment