KAJANG: Polis telah menahan empat suspek yang menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di hadapan sebuah tadika di Sungai Chua, di sini, pada Jumaat.
Salah seorang suspek itu termasuk pemandu teksi yang membawa pulang mangsa, Li Zhi Yang yang dilarikan dua lelaki dalam kejadian kira-kira 9 pagi semalam.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Abdul Samah Mat berkata wang tebusan hampir RM300,000 turut dirampas.
Beliau berkata salah seorang empat suspek tersebut adalah warganegara Indonesia.
“Satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kes ini. Tangkapan pertama yang melibatkan dua orang dibuat pada lebih kurang pukul 10.10 malam semalam di hadapan sebuah pasaraya di sini.
“Kedua suspek berada dalam sebuah kereta dan pihak polis telah merampas wang tebusan berjumlah RM30,000 yang ditemui di bawah tempat duduk.
“Tangkapan kedua pula dilakukan pada jam 12.15 pagi ini di Kajang Raya melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 45 tahun di mana polis telah merampas wang tebusan berjumlah RM1,050 dari dalam beg duit milik suspek.
“Pihak polis juga berjaya merampas wang tunai berjumlah RM60,500 dari motosikal yang terletak di rumah lelaki tersebut,” katanya semasa satu sidang media di IPK Selangor, pagi ini.
Abdul Samah juga berkata sejumlah RM200,000 telah ditemui di Plaza Indah Sungai Kajang dan polis merampas sebuah beg berwarna ungu yang digunakan bapa mangsa bagi mengisi wang tebusan di Pusat Perindustrian Sungai Chua.
Katanya lagi suspek keempat telah ditahan di kawasan Perindustrian Bukit Angkat Kajang dan sebuah kereta juga dirampas.
“Sebuah kereta jenis Proton Saga BLM berwarna gelap dengan nombor pendaftaran WUJ 1485 yang digunakan semasa kejadian telah dirampas.
“Antara barangan yang turut dirampas termasuk sebuah teksi, wang tebusan RM291, 550, satu motosikal dan empat telefon bimbit,” katanya.
Abdul Samah juga berkata tiga suspek telah mengaku bersalah manakala seorang mengaku tidak bersalah.
“Suspek dijanjikan upah sebanyak RM10,000 bagi menjalankan perniagaan dan selepas bapa mangsa membayar wang tebusan terbabit kedua-dua suspek mendapat bayaran RM20,000 masing-masing,” katanya.
Tambahnya lagi, punca kejadian ialah selepas suspek mempunyai masalah kewangan.
Dalam kejadian pada Jumaat, sebuah video rakaman kamera litar tutup (CCTV) berdurasi 73 saat tersebar di media sosial menunjukkan seorang kanak-kanak diculik oleh dua orang lelaki.
Video itu menunjukkan dua lelaki memakai kemeja hitam bercakap dengan ibu kanak-kanak tersebut dipercayai untuk bertanyakan jalan sebelum salah seorang daripada mereka tiba-tiba menculik kanak-kanak itu dan dengan pantas meninggalkan tempat kejadian dengan kereta.
Ibu kanak-kanak itu sempat mengejar kedua-dua lelaki tersebut ke kereta sebelum beliau terjatuh.
Beliau kemudian memuat naik gambar anaknya ke akaun Facebooknya, atas nama Cammi Lim Ker Shing, dan meminta bantuan orang ramai untuk mencari anaknya.
Lee ditemukan dalam keadaan selamat lapan jam kemudian oleh seorang pemandu teksi yang kemudian menghantarnya pulang ke rumah keluarganya sejurus selepas itu.
Usaha pihak polis ini turut mendapat ucapan tahniah dari Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam twitnya pagi ini.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 1 comments... read them below or add one }
Post a Comment